Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Guru Antara Lima Ditahan Disyaki Sokong, Promosi LTTE

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) — Lima lagi individu termasuk seorang guru ditahan kerana disyaki terlibat dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE sejak Khamis lepas ialah 12 orang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kelima-lima suspek berusia 26 hingga 52 tahun itu ditahan dalam operasi bermula 10 pagi semalam di Selangor, Melaka dan Pulau Pinang.

Mengulas tangkapan pertama di Teluk Panglima Garang, Selangor, beliau berkata polis menahan seorang guru sebuah sekolah di Banting kerana memiliki bahan-bahan serta menyokong kumpulan pengganas LTTE.

“Operasi di Durian Tunggal, Melaka pula polis menahan seorang pegawai eksekutif sebuah perbadanan dan ahli majlis perbandaran kerana bertindak sebagai penganjur majlis sambutan hari perwira LTTE tahun lepas,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata dua lagi lelaki yang bekerja sebagai pekerja kilang dan penyelia keselamatan ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

“Kedua-dua suspek ini juga memiliki bahan-bahan pengganas LTTE. Siasatan mendapati lima individu yang baru ditahan ini sering berinteraksi dengan tujuh suspek yang ditahan sebelum ini,” katanya.

Ayob Khan berkata kesemua mereka ditahan selama 28 hari untuk siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula hari ini.

“Bagi tujuh suspek yang ditahan sebelum ini, mereka dibenarkan berjumpa peguam esok,” katanya mengulas dakwaan kesemua suspek yang ditahan sebelum ini dinafikan hak mereka.

Khamis lepas, tujuh individu termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri ditahan mengikut SOSMA  selepas disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

LTTE yang diketuai V. Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala dikatakan menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.- BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.