Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Ibu Mati, Anak OKU Dijumpai Dahaga Lapar Dalam Rumah Di Skudai

JOHOR BAHRU, 13 Okt (Bernama) — Seorang wanita ditemui mati manakala anak lelakinya berusia 12 tahun dijumpai dalam keadaan lapar dan dahaga di rumah mereka di Taman Impian Emas, dekat Skudai, tengah malam tadi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba Johor Bahru, Mohd Saifulizam Mohd Salleh berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.40 tengah malam, bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera dan unit bantuan perkhidmatan kecemasan beserta sembilan anggota.

“Pihak kami dimaklumkan oleh seorang daripada anak mangsa, yang pintu rumahnya tidak boleh dibuka. Apabila menjenguk ke dalam rumah melalui atas pintu, seorang daripada anggota ternampak seorang wanita terbaring di ruang tamu berkenaan.

“Selepas diberi kebenaran oleh anak mangsa untuk memecahkan pintu, kami dapati wanita berkenaan telah pun meninggal dunia lebih dari 24 jam,” kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pihak bomba juga menjumpai seorang budak lelaki yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) di bilik air rumah berkenaan dalam keadaan lapar dan dahaga, dipercayai sudah empat hari tidak makan.

Mohd Saifulizam berkata, anak lelaki mangsa berusia 27 tahun itu, yang selalu menjenguk ibunya seminggu sekali memberitahu bahawa kali terakhir berjumpa ibunya ialah pada Sabtu lepas.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Chiong Chan Lin, 63, diserahkan kepada Balai Polis Skudai untuk tindakan lanjut manakala identiti anak lelakinya yang berusia 12 tahun itu tidak dapat dikenalpasti.- BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.