Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Polis Buru Suspek Cabul Kanak-Kanak 5 tahun Di Nilai 3

Seremban : Polis memburu seorang lelaki warganegara Bangladesh yang dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, di sebuah kedai langsir di Nilai 3, dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata suspek yang hanya dikenali sebagai ‘Alam’, dipercayai telah melarikan diri selepas kejadian itu dan hasil pemeriksaan polis di rumah suspek juga gagal menemuinya.

”Polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 11.30 malam, Rabu lalu, memaklumkan kira-kira pukul 10 malam hari yang sama, semasa pengadu berada di rumah, mangsa telah mengadu sakit di bahagian kemaluan.

”Mangsa juga memberitahu ibunya bahawa pelaku adalah individu yang dikenali sebagai Alam dan pengadu kemudiannya membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan perbuatan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata siasatan mendapati, pengadu merupakan seorang warganegara Indonesia yang telah berkahwin dengan seorang lelaki cina warganegara tempatan.

Beliau berkata pengadu dan suaminya bekerja di kedai langsir bersebelahan dengan kedai langsir tempat suspek bekerja dan mereka telah mengenali suspek kira-kira enam tahun lalu.

”Pengadu turut memaklumkan suspek selalu datang ke tempat kerja pengadu dan bermain dengan mangsa tetapi pengadu tidak menyangka yang suspek sanggup mencabul mangsa. Pengadu tidak pasti sudah berapa kali suspek mencabul mangsa tetapi ini merupakan kali pertama mangsa menceritakan kejadian tersebut kepada pengadu.

”Siasatan di tempat kejadian cabul itu berlaku mendapati ianya merupakan sebuah tempat rehat yang terletak di dalam kedai langsir tempat pengadu bekerja dan tempat tersebut terletak di bahagian belakang kedai dan digunakan pengadu sebagai tempat tidur untuk mangsa,” katanya.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.