Siakap Keli
Kredit Foto: azmykelanajaya.com

Virus Zika Dikesan Di Perak, KKM Saran Ambil Langkah Berjaga-jaga

Satu kes baru berkaitan dengan demam Zika telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melibatkan seorang pesakit di Perak.

Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima notifikasi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perak pada 12 Oktober yang lalu dan ujian pengesahan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah dilakukan pada 13 Oktober yang menunjukkan pesakit disahkan positif terkena jangkitan virus Zika.

Bermula dengan gejala muntah dan cirit birit pada 26 September lalu, pesakit yang merupakan seorang lelaki berusia 30 tahun telah dimasukkan ke hospital pada 27 September dan seterusnya dipindahkan ke unit rawatan rapi pada 29 September. Pesakit berada dalam keadaan stabil dan dan masih berada dalam wad.

Dengan pengesahan kes ini, menjadikan jumlah kes disahkan Zika adalah sebanyak sembilan kes iaitu lapan kes pada tahun 2016 dan satu kes pada tahun 2019.

Tindakan kawalan telah dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dengan aktiviti pemeriksaan tempat pembiakan aedes, larvasiding untuk membunuh jentik-jentik, pengeluaran notis seksyen 8 bagi membersihkan tempat pembiakan berisiko dan semburan ruang thermal.

Penyakit Zika adalah disebabkan oleh virus Zika yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu nyamuk yang sama menyebarkan penyakit demam Denggi dan Chikungunya. Pesakit yang dijangkiti Zika akan mengalami ruam dengan dua atau lebih gejala lain iaitu demam, sakit badan, sakit sendi, sendi bengkak atau mata kemerahan.

Kredit Foto: Kementerian Kesihatan Malaysia

Pesakit juga  boleh mempunyai sejarah pergerakan ke negara yang dilanda jangkitan Zika tujuh hari sebelum gejala bermula atau mempunyai sejarah kontak dengan pesakit yang disahkan dijangkiti virus Zika. Pesakit yang mempunyai gejala-gejala ini, diminta mendapatkan ujian dan rawatan lanjut dengan segera di fasiliti kesihatan berhampiran.

Bagi mencegah jangkitan virus Zika berlaku, masyarakat diminta melaksanakan aktiviti pencegahan seperti berikut:

  1. Membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu.
  2. Menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.
  3. Elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang terutama apabila berada di luar rumah.
  4. Menggunakan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan.
  5. Memasang jaring nyamuk (mosquito mesh) di tingkap dan pintu rumah bagi menghalang nyamuk memasuki kediaman.
  6. Elakkan dari melawat negara yang dilanda jangkitan Zika.

Sumber: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra