Siakap Keli
Kredit Foto: directasia.com

Boleh Mengurangkan Risiko Kemalangan, 6 Tips Buat ”Rider” Untuk Menunggang Ketika Dalam Hujan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Masalah utama yang sering dihadapi penunggang motosikal pada musim tengkujuh adalah hujan yang tidak menentu. Ianya akan menjadi masalah kepada penunggang motosikal untuk bergerak terutama untuk ke tempat kerja.

Namun, masalah tersebut harus diatasi bagi memastikan pekerjaan kita berjalan seperti biasa. Keselamatan juga perlu dititikberatkan pada waktu hujan. Terdapat enam tip yang boleh dilakukan ketika menunggang motosikal sewaktu hujan.

Ikuti perkongsian yang dibuat oleh Hello Doktor dibawah.

  1. Pilih pakaian yang sesuai

Paling utama, pakaian anda perlu sesuai. Disebabkan sekarang musim tengkujuh sedang melanda, rider jalan raya perlu menyediakan baju hujan dan memakainya setiap kali perlu menunggang motosikal. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan!

Selain itu, pakaian yang dipakai perlu dipilih daripada material poliester atau sintetik agar ia lebih cepat kering jika terkena air. Sebaliknya, cuba elak dari mengenakan baju cotton kerana bukan sahaja ia lambat kering, malahan juga susah untuk dicuci jika terkena kotoran jalan raya.

  1. Sarung helmet yang cerah

Dalam pada itu, pakaian juga harus berwarna cerah bagi memudahkan orang lain melihat anda. Begitu juga dengan helmet. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ada helmet yang direka khas untuk tunggangan situasi tertentu seperti waktu malam dan hujan.

Helmet jenis ini perlu dipakai ketika musim tengkujuh kerana ia mempunyai ciri khas seperti serta mempunyai pelekat pemantul cahaya (reflektor). Nota tambahan: Jangan sangkut helmet terbalik bawah tempat duduk motosikal jika tidak mahu ia menjadi singki, ya?

  1. Guna sarung tangan dan kasut

Sebagai seorang rider, penulis selalu perhatikan penunggang motosikal lain tidak menggunakan sarung tangan semasa menunggang di bawah cuaca buruk. Sepatutnya, ia perlu diguna untuk memastikan tangan anda tergelincir dari throttle lalu membahayakan anda. Selain itu, ia juga patut digunakan untuk menghindarkan hujung jari mengecut.

Selain itu, penulis turut perasan yang kebanyakan penunggang motosikal cenderung untuk tidak memakai kasut semasa menunggang di bawah cuaca tidak elok. Sebenarnya, anda perlu memakai kasut untuk mengelakkan dari kaki anda luka terkena serpihan batu atau pasir dari jalan raya. Kalau mahu lebih selamat, mungkin anda boleh cuba kasut Phua Chu Kang.

  1. Sentiasa pasang lampu

Jika tidak memasang lampu semasa sedang menunggang motosikal, ia adalah kesalahan mandatori. Jadi, tidak ada alasan untuk anda tidak menggunakan lampu ketika hujan. Pun begitu, jangan pula anda pasang high beam atau signal pula ya. Takut ia akan mengelirukan pengguna jalan raya lain pula nanti.

  1. Elak lopak air

Lopak air akan menyebabkan cengkaman tayar menjadi kurang lekat. Selain itu, lopak air yang dalam akibat jalan berlubang mungkin akan mengakibatkan anda jatuh daripada motosikal. Jadi, cuba elak lopak air selagi boleh. Namun, jangan pula anda menunggang terhuyung hayang macam orang mabuk semata nak mengelak lubang, pula!

  1. Bawa berhati-hati

Meski kedengaran klise, namun ini adalah tip yang penting. Buat rider di luar sana, sila bawa dengan berhati-hati: perlahan dan cermat. Apabila tiba di simpang, sila perlahankan motosikal dan tukar ke gear yang lebih rendah terutamanya jika membelok. Tetapi, jangan tarik brek secara mengejut pula. Ia akan mengakibatkan jentera anda hilang kawalan pula nanti.

Selain itu, sentiasa semat dalam hati bahawa kondisi jalan raya semasa cuaca buruk sudah pasti akan basah dan licin. Jadi, jangan sesekali bawa terlalu laju dan usah memotong kenderaan di hadapan secara membabi-buta. Jika terlalu lebat sehingga penglihatan terhad, berhenti seketika di tempat yang disediakan.

Hujan memang tidak dapat dielakkan, tapi terima ia sebagai rahmat kepada kita. Kepada setiap penunggang motosikal, berhati-hati dijalan raya terutama pada waktu hujan.

Kredit: Hello Doktor

Siti Natrah Jusof

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.