Siakap Keli
Gambar Hiasan - SelangorKini.my

Kerajaan Beri Pelepasan Cukai RM2,000 Jika Hantar Anak Ke Taska, Pra-sekolah JKM

Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat buat pertama kali semalam menyaksikan setiap ibu bapa yang mempunyai anak berusia enam tahun boleh menuntut pelepasan cukai jika menghantar anak mereka ke taska atau pra-sekolah yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pelepasan cukai yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menunjukkan jumlah yang banyak berbeza dengan sebelum ini dan pindaan ini akan berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2020 dan tahun-tahun berikutnya.

RUU itu juga menggariskan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan bagi penyakit serius yang diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.

RUU itu dibentang bagi mewujudkan suatu akta untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Jualan 2018, Akta Kewangan 2010 dan Akta Kewangan 2018.

Selain itu, RUU tersebut juga memasukkan subseksyen baharu iaitu pemberian rebat cukai ke atas levi pelepasan dibayar di bawah Akta Levi Pelepasan 2019 oleh seorang individu yang meninggalkan Malaysia melalui udara untuk menunaikan umrah atau ziarah agama lain.

Perbahasan RUU itu untuk bacaan kali kedua dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini yang berlangsung sehingga 5 Dis depan.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story