Siakap Keli
Kredit: The Spectator/Al-Araby

“Macam Takdak Langsung Isu Jantina” HO Kongsi Sikap Niqabis Mesir Ketika Dapatkan Rawatan Sakit Puan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Mufti telah meletakkan garis panduan atas keharusan doktor lelaki memberi rawatan kepada kaum wanita dengan syarat berikut,

  • Jika wujud perawat yang muslim, maka tidak boleh digantikan.
  • Ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (terpercaya).
  • Ketiadaan perawat wanita, atau perawat lelaki bagi pesakit lelaki.
  • Perawat boleh melihat kepada bahagian-bahagian badan selama mana ada keperluan kepadanya

Isu doktor lelaki menyambut bayi pernah menjadi perdebatan hangat di Malaysia suatu ketika dahulu.

Justeru, seorang doktor pelatih di Mesir berkongsi pengalaman beliau ketika menguruskan unit bersalin di negara Timur Tengah itu. Menurutnya, walaupun masyarakat di sana mempunyai pendidikan agama, tidak menjadi masalah bagi mereka apabila terpaksa menerima rawatan daripada doktor berlainan jantina ketika dalam darurat.

Berikut adalah perkongsiannya.

Lepas saya kongsikan pengalaman menguruskan ibu bersalin di Mesir semalam, ada yang bertanya “Kat Mesir ini tak ada isu pesakit-pesakit yang request doktor wanita ke? Sampai pesakit buat surat tak nak doktor lelaki merawatnya?”

Secara jujurnya sepanjang bekerja di hospital Mesir ini, agak susah nak jumpa isu pesakit yang demanding seperti ini. Boleh kata tak ada.

Pesakit-pesakit di Mesir sini macam tak ada isu langsung berkenaan jantina doktor-pesakit yang berbeza. Mereka memang letak kepercayaan penuh pada doktor-doktor semua hatta doktor lelaki sekalipun.

Tak cerewet langsung. Mungkin pesakit yang jenis demanding begini dah pergi ke hospital swasta (wallahua’alam saya tak tahu), tapi mereka yang datang ke hospital kerajaan ini tak ada langsung yang saya jumpa nak request doktor perempuan.

Nak kata mereka tak berpendidikan agama? Masyarakat Mesir antara masyarakat yang ramai menghafal Quran.

Gambar hiasan. (Kredit: The Quran Courses)

Memang ada yang kurang berpendidikan agama. Tapi yang berpendidikan tinggi dalam agama juga boleh tahan ramai bilangannya.

Pernah sekali itu seorang wanita yang ‘berniqab full (nampak mata sahaja)’ datang ke tempat kami waktu bersalin. Waktu itu kami minta beliau untuk selakkan sedikit kain jubahnya untuk kami periksa denyutan nadi kandungan di dalam perutnya.

Sangkaan saya bila lihat wanita Islamik yang menjaga auratnya dengan sangat teliti seperti ini, mungkin akan timbullah beberapa persoalan daripada dia untuk permintaan kami itu tadi. Atau mungkin kita boleh lihatlah dia ragu-ragu sedikit untuk buka auratnya.

Tapi tidak. Sangkaan saya salah. Bila dengar saja permintaan kami itu, pesakit tersebut bukan setakat selak kain jubahnya malah beliau siap tanggalkan segala kain jubah di bawah termasuk kain niqab yang ada di muka.

Percaya kat doktor punya pasal. Walhal kita tak minta pun dia buat lebih. Punyalah mereka percaya kepada doktor sehingga tak timbul langsung suuzzohn (sangka buruk) kepada para doktor. Bahagia sungguh kita nak buat kerja.

Pesakit faham keterbatasan yang ada. Dan doktor pula tidak mengambil kesempatan di sebalik kesempitan yang ada. Harmoni betul kita lihat hubungan pesakit & doktor yang ada di wad bersalin sini. Dua-dua saling memudahkan & saling melengkapi sesama mereka.

Pesakit wanita yang ada di Mesir ini bukannya tidak bermaruah. Tetapi mereka menyerahkan urusan yang sepatutnya kepada golongan yang memerlukan sahaja.

Di luar, mereka sangat menjaga aurat (full niqab). Tetapi bila sampai kepada waktu yang memerlukan untuk mereka membuka aurat bagi maslahat (kebaikan) tertentu, mereka faham batas-batas agama & melonggarkan ia hanya kepada individu-individu tertentu.

Kredit: AFP

Tidak bermudah-mudah dalam agama. Dan tidak terlalu ketat dalam beragama.

Berlonggar dengan bersyarat. Dan berprinsip secara bertempat.

Walhal kat Mesir sini ada saja hospital-hospital wanita untuk mereka pergi. Tiada siapa yang paksa.

Cuma bila mereka tahu keterbatasan kemampuan yang ada, beserta kefahaman agama yang tepat, lantas menyebabkan mereka pilih untuk menggunakan agama sebagai sesuatu yang memudahkan urusan hidup mereka. Bukan untuk menyulitkannya.

Tipulah kalau kita kata mereka tak nak doktor perempuan untuk membantu proses kelahiran anak mereka.

Siapa tak nak kalau dapat doktor perempuan untuk bantu isteri kita, anak perempuan kita ataupun saudara perempuan kita?

Semua orang nak. Cuma keinginan tersebut tak mudah untuk kita tunaikan sesenang yang kita jangka.

Ia menuntut kepada pengorbanan kita untuk melahirkan anak perempuan yang sanggup bermati-matian dapat bekerja sehingga doktor pakar.

Ia menuntut kepada pengorbanan kita untuk melepaskan isteri yang bekerja sebagai doktor, bermalaman di hospital berhari-hari letihnya.

Dan bermacam-macam pengorbanan lain yang kita semua perlu laksanakannya sebelum membolehkan harapan kita untuk memiliki doktor pakar perempuan itu dapat terlaksana.

Kerana ia merupakan satu harapan yang menuntut kepada pengorbanan kita semua.

Gambar hiasan. (Kredit: Fierce Healthcare)

Sumber: Amirul Azmeer Asmadi, Mufti Wilayah Persekutuan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.