Siakap Keli
Gambar: Hello Sehat

Perasan Parut di Lengan Kiri Anda? Ini Sebab Kenapa Dulu Kita Kena Suntik BCG

Ramai diantara kita yang pastinya mempunyai parut di lengan kiri akibat daripada suntikan yang bernama BCG. Bagi kebanyakan kanak-kanak lelaki, selain daripada sunat, suntikan BCG ini juga merupakan salah satu perkara yang ditakuti juga.

Walau bagaimanapun, ianya perlu dilalui juga untuk menyebabkan daripada dijangkiti penyakit. Namun begitu, pasti ramai yang tidak mengetahui ataupun telah lupa tentang apakah fungsi suntikan BCG yang pernah ditakuti ini semasa zaman persekolahan dahulu.

Melalui penulisan yang telah diterbitkan oleh Hello Doktor, mereka ada berkongsikan tentang fungsi suntikan BCG ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penulisan mereka seperti berikut:

Semasa berada di sekolah rendah, penulis dan rakan-rakan lain akan mula berasa sedikit gusar apabila mula menginjakkan kaki ke Tahun 6. Mengapa? Sebab BCG.

Terdapat cakap-cakap yang mengatakan bahawa sesiapa sahaja yang tidak mempunyai parut di bahagian lengan kiri, akan disuntik dengan suntikan BCG. Perkataan BCG ini pasti menyeramkan setiap kanak-kanak sekolah terutama mereka yang berada di Tahun 6. Anda tahu apakah sebenarnya BCG ini?

Igauan suntikan BCG

BCG atau bacille Calmette-Guerin, adalah sejenis vaksin yang digunakan untuk mencegah penyakit tuberkulosis atau TB. Suntikan ini digunakan di negara-negara dengan kadar kelaziman TB yang tinggi. Suntikan ini digalakkan untuk diberi kepada bayi, kanak-kanak dan individu dewasa yang berumur bawah 35 tahun yang berisiko untuk mendapat TB.

Vaksin BCG mengandungi bakteria TB yang dilemahkan, yang membina imuniti dan menggalakkan tubuh untuk melawan TB jika dijangkiti dengannya. Walau bagaimanapun, ia tidak akan menyebabkan sebarang penyakit TB daripada berlaku akibat suntikan tersebut.

Kenapa kulit berparut?

Tindak balas yang biasa terjadi daripada vaksin BCG adalah kemerahan dan / atau benjolan kecil di tempat suntikan, diikuti oleh ulser kecil selama beberapa minggu kemudian. Ulser tersebut mungkin terjadi dalam masa beberapa minggu hingga beberapa bulan sebelum ia sembuh dan membentuk parut rata yang kecil.

Bila suntikan BCG diberikan?

Di Malaysia, suntikan BCG telah bermula sejak tahun 1961 sebagai salah satu usaha di bawah Program Kawalan Tibi Kebangsaan. Antara golongan yang perlu menerima suntikan ini ialah:

  • Bayi baru lahir sebagai dos primary
  • Kanak-kanak dengan umur 15 tahun ke bawah yang tidak pernah menerima sebarang imunisasi BCG
  • Kanak-kanak dengan umur 15 tahun ke bawah yang telah disuntik dengan suntikan BCG, tetapi tidak mempunyai sebarang parut suntikan
  • Murid sekolah yang berumur 7 tahun di Negeri Sabah dan 12 tahun di Negeri Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai dos tambahan. Ia telah dihentikan bermula 1 Julai 2002.

Bagi mereka yang telah mempunyai suntikan BCG, mereka tidak perlu lagi mendapatkan suntikan tersebut memandangkan ia tidak memberikan perlindungan tambahan kepada penerimanya. Walau bagaimanapun, jika tidak terdapat sebarang reaksi pada kulit seperti parut kecil, anda mungkin perlu disuntik sekali lagi dengan suntikan BCG tersebut.

Melalui Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan pada tahun 2015, pemberian semula suntikan BCG kepada murid sekolah Tahun 1 atau yang berumur 7 tahun telah diberhentikan. Pemeriksaan kewujudan parut pada lengan juga telah dihentikan untuk murid Tahun 1. Hanya bayi yang baru dilahirkan perlu diperiksa status suntikan BCG pada umur 3 bulan secara rutin. Pemberian semula vaksin diberikan kepada bayi yang tidak mempunyai sebarang parut BCG.

Kini, murid sekolah daripada Tahun 1 hingga 6 mungkin tidak akan lagi  mengalami mimpi ngeri sebagaimana yang dialami oleh penulis ketika bersekolah di sekolah rendah. Walau bagaimanapun, seingat penulis, memang tiada lagi program suntikan BCG di sekolah penulis sehinggalah penulis menamatkan sekolah rendah pada tahun 2006. Jika program suntikan BCG masih ada lagi ketika itu, penulis mungkin terselamat kerana parut di lengan kiri penulis masih wujud. Yeay!

Sumber: Hello Doktor

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.