Siakap Keli

Siswazah Disiasat, Langgar Protokol Istiadat Konvokesyen – Polis

KUALA LUMPUR, 16 Oktober (Bernama) – Polis menjalankan siasatan ke atas seorang siswazah lelaki Universiti Malaya (UM) setelah dipercayai bertindak melanggar protokol istiadat selain mengganggu prosiding konvokesyen universiti awam berkenaan pada Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pihaknya telah menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang pegawai keselamatan UM pada 12.33 tengah malam Selasa.

“Siasatan diteruskan manakala kes ini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang didapati mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Tindakan akan diambil ia termasuklah mencetuskan isu yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman mahupun agama di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan menasihatkan orang ramai supaya menghormati perlembagaan dan undang-undang serta bersama-sama mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Pada Isnin lepas, dalam kejadian pada 10 pagi itu, seorang graduan berusia 23 tahun didapati telah mengeluarkan plakad bagi mendesak pemimpin universiti itu meletakkan jawatan sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’ selepas menerima ijazahnya.

Ia dipercayai ditujukan kepada pemimpin universiti itu serta barisan akademik yang berada di atas pentas konvokesyen berkenaan

Sumber: BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)