KUALA LUMPUR, 17 Oktober (Bernama) – Seorang guru dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen Ampang berasingan di sini, hari ini atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan satu pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap tiga pelajar perempuan sekolahnya, dua tahun lepas.
Mohd Shahrul Affendi Zakaria, 34, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norhazani Hamzah, Suzana Hussin dan Azrul Darus.
Bagi pertuduhan pertama hingga ke-12, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas dua pelajar berumur 14 tahun dan seorang berusia 13 tahun di sebuah bilik di sebuah sekolah di Ampang di sini antara 7.15 pagi hingga 5.15 petang pada Mac 2018 dan Jun tahun ini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Bapa empat anak itu turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas seorang mangsa sama berumur 14 tahun di tempat serupa pada 7.15 pagi, 26 Ogos lepas mengikut Seksyen 15(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim, Nur Intan Syakieraah Zakaria dan Goh Ai Rene masing-masing tidak menawarkan jaminan mengambil kira kesalahan itu serius, bagaimanapun, Mohd Shahrul Affendi yang diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisham memohon jaminan dibenarkan atas alasan dia menanggung keluarga.
Ketiga-tiga Mahkamah Sesyen tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Nov untuk sebutan semula kes.
Sumber: BERNAMA