Siakap Keli
Kredit: Daily Star

Tuduh Jadi Punca Kucing Kesayangan Mati, Wanita Didakwa Tergamak Bunuh & Kerat Teman Lelaki

Rusia – Seorang wanita bertindak luar kawalan apabila membunuh dan mengerat mayat teman lelakinya setelah mangsa membunuh kucing kesayangan milik wanita berkenaan, kata polis.

Suspek yang merupakan penganggur, Anastasia Kh, 41 menggunakan tukul untuk memukul lelaki berusia 39 tahun berkenaan sebelum menggergaji bahagian tubuh mangsa bagi menghapuskan mayat.

“Dia memukul kepala mangsa dengan tukul dan menendang mangsa beberapa kali. Setelah membunuh, wanita itu memotong bahagian badan mangsa,” kata jurucakap Jawatankuasa Penyiasat Rusia.

Dia kemudiannya memasukkan bahagian badan yang telah dipotong ke dalam lima beg plastik secara berasingan sebelum membuangnya ke Kirov, daerah St Petersburg, kira-kira 5 kilometer dari rumah mereka.

Kredit: Daily Star

Wanita berkenaan dikatakan membakar mayat mangsa di dalam pasir.

Mayat mangsa ditemui oleh seorang lelaki yang sedang bersiar-siar bersama anjing peliharaannya yang bertindak melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis.

Polis menjumpai tulang kaki, rusuk, bahu, bahagian pelvis dan kulit mangsa di lokasi berkenaan.

Polis mendakwa pasangan berkenaan sering bergaduh dan suspek menyalahkan lelaki itu kerana membunuh kucing kesayangannya.

Kesan darah didapati di lantai flat milik mereka.(Kredit: Daily Star)

Awal bulan ini di Chita, Rusia, seorang wanita maut dibunuh teman lelaki sendiri dan bahagian mayatnya dicampak dari balkoni tingkat 12 di hadapan kumpulan orang awam termasuk kanak-kanak yang berada di bawah.

Menurut remaja berusia 15 tahun yang menjadi saksi kejadian, dia bersama rakannya menemui bahagian badan mangsa.

“Mulanya baju yang berdarah dicampak keluar, kemudian kepala. Sangat menakutkan,” katanya.

Sumber: Daily Star

Amira

Love yourself.