Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Selepas Taufan Hagibis, Hujan Lebat Diramal Landa Jepun

Tokyo : Agensi Meteorologi Jepun (JMA) pada Jumaat mengeluarkan amaran hujan lebat dijangka berlaku pada hujung minggu, ketika Jepun masih bergelut akibat taufan Hagibis pada minggu lalu yang menjejaskan negara itu.

Ketika usaha pemulihan sedang dijalankan, wilayah di seluruh Jepun sekali lagi berdepan hujan lebat, yang boleh mencetuskan tanah runtuh dan banjir besar terutama di kawasan sebelum ini terjejas akibat taufan, lapor agensi berita Xinhua.

Curahan hujan dijangka mencecah sehingga 120 milimeter di wilayah Shizuoka dalam tempoh 24 jam hingga Sabtu pagi, dan 100 milimeter di rantau Kanto-Koshin.

Di kawasan timur laut Tohoku pula, JMA meramalkan curahan hujan mencecah 50 milimeter.

Menurut media tempatan, beberapa bandar dan kawasan berisiko banjir terutama berdekatan sungai arahan berpindah telah dikeluarkan.

Orang ramai juga dinasihatkan berjaga-jaga kemungkinan penularan wabak influenza terutama di kawasan pemindahan  sementara.

NHK melaporkan sehingga Jumaat petang anggota penyelamat masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat lapan mangsa yang dilaporkan hilang. Angka kematian kekal 79 orang.

Hagibis menyebabkan 2,400 rumah mengalami kerosakan atau musnah, sekurang-kurangnya 25,000 hektar tanah di pulau Honshu digenangi air banjir akibat taufan yang disifatkan paling buruk pernah melanda sejak beberapa dekad.

Kerajaan memperuntukkan 710 juta yen (US$6.5 juta) untuk membiayai usaha bantuan kemanusiaan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.