Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Guru Mangsa Penipuan Rugi RM8,080 Dalam Dua Jam

Kuantan : Seorang guru lelaki menjadi mangsa penipuan tunggakan kad kredit menyebabkannya kerugian RM8,080 hanya dalam tempoh dua jam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Yusof berkata mangsa yang berusia 30 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang menyamar sebagai petugas Mahkamah Melaka sekitar 10 pagi semalam ketika berada di Bandar Indera Mahkota, di sini.

“Mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan bayaran kad kredit sebanyak RM18,000 yang bagaimanapun dinafikan oleh mangsa sebelum talian disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

“Ketika berurusan dengan ASP Teoh, mangsa telah menyerahkan maklumat akaun banknya termasuk nama pengguna dan kata laluan perbankan dalam talian seperti yang diminta, kononnya bagi tujuan siasatan,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Mohd Wazir  berkata selepas beberapa minit, mangsa juga telah memberikan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) sebanyak dua kali kepada suspek.

Kemudian, katanya pada kira-kira pukul 12 tengah hari semalam mangsa telah memeriksa akaun banknya dan mendapati terdapat pemindahan wang sebanyak RM8,080 daripada akaunnya ke dalam akaun individu yang tidak dikenali.

Susulan itu, mangsa terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.