Hasil pemeriksaan psikiatri yang dijalankan ke atas doktor yang memukul bekas isteri dan bapa mentuanya pada September lalu menunjukkan dia berada dalam keadaan waras.
Menurut laporan kesihatan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, tertuduh disahkan menghidap bipolar disorder atau kecelaruan efektif dan tertuduh juga menyedari perbuatan yang dilakukannya salah disisi undang-undang.
Tertuduh, Syed Ariff Syed Abdul sebelum ini mendapat perintah dari Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail untuk menjalani pemeriksaan selama sebulan ketika perbicaraan pada 20 September yang lalu.
Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan di bahagian kiri atas kepala Siti Nur Hidayah Abd Rahim ,34, dan mendatangkan kecederaan di dahi Abdul Rahim Hashim, 65.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Tertuduh boleh dihukum penjara selama setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, peguam tertuduh, Adenan Ismail memohon wang jaminan terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM4,000 bagi pertuduhan kedua.
Tertuduh juga diberikan beberapa syarat iaitu perlu hadir ke balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mendekati saksi dan mangsa.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 November depan.
Pada September lalu, tular di media sosial satu video yang menunjukkan Syed Ariff Syed Abdul memukul bekas isteri dan bapa mentuanya di hadapan MJ Auto (U5) Sdn Bhd Jalan Utarid U5/24 pada jam 12.15 tengah hari.
Sumber: Sinar Harian