Siakap Keli

Seekor Gajah Pigmi Dewasa Ditemui Mati Di Beluran

Seekor gajah pigmi dewasa ditemukan mati disyaki ditembak di sebuah ladang kelapa sawit di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda malam ini, bangkai haiwan itu ditemukan tanpa gading dan dipercayai telah mati selama lima hari.

“Pekerja Ladang Bimbingan 2, Beluran telah menghidu bau busuk di kawasan ladang terbabit yang akhirnya membawa kepada penemuan bangkai gajah pigmi jantan itu dianggarkan berusia lingkungan 25 tahun, mempunyai berat 2.5 tan.

Semasa bedah siasat telah mengesan beberapa luka lama dipercayai kesan tembakan pada bahagian punggung gajah tersebut namun tidak menembusi bahagian kulit. Punca kematian masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kasim berkata suspek belum dikenal pasti dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian itu tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Beluran untuk membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memburu haiwan dilindungi sepenuhnya tanpa kebenaran Jabatan Hidupan Liar Sabah, katanya.

Ketika dihubungi, Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri Augustine Tuuga mengesahkan bangkai gajah pigmi itu ditemukan oleh pekerja ladang berkenaan sekitar pagi semalam dan segera menghubungi pihak berkuasa.

“Penemuan ini amat menyedihkan. Bedah siasat telah dijalankan di tempat penemuan bangkai tersebut,” katanya.

Pada 25 Sept lepas, bangkai seekor gajah pigmi ditemukan di Sungai Udin Dumpas, Kalabakan, Tawau juga dengan kesan tembakan, yang mana enam individu ditahan untuk membantu siasatan.

Sumber: BERNAMA

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)