Siakap Keli
Kredit: Vice.com / OpenBiome

(Video) Diambil Untuk Dijadikan Penawar, Ramai Tak Tahu Najis Boleh Diderma & Selamatkan Banyak Nyawa

Jangan terkejut, walaupun kedengaran jijik dan pelik, sebenarnya pendermaan najis merupakan salah satu amalan yang boleh menyelamatkan nyawa.

Najis daripada individu yang sihat akan digunakan untuk membantu pesakit yang menghidap jangkitan Clostridium difficilie infections, atau C. diff iaitu penyakit cirit birit berpunca daripada penghasilan toksin oleh bakteria Clostridium difficile di dalam usus besar pesakit.

Jangkitan ini kebiasaannya muncul selepas individu yang mengambil antibiotik bagi jangkitan yang tidak berkaitan dijangkiti bakteria Clostridium difficile dalam jumlah yang tidak terkawal akibat penggunaan antibiotik yang berkemungkinan membunuh terlalu banyak bakteria baik di dalam usus.

Menurut Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC), hampir 500,000 warga Amerika mengalami jangkitan C. diff pada 2015 di mana 29,000 pesakit daripada jumlah tersebut maut dalam tempoh 30 hari selepas diagnosis melibatkan 80 peratus daripadanya pesakit berumur 65 tahun ke atas.

Gambar hiasan. (Kredit: Medicine Net)

Pendermaan najis atau fecal microbiota transplantation (FMT)

Menurut OpenBiome, FMT telah berjaya mengubati 85 peratus pesakit berbanding penggunaan antibiotik.

Bakteria baik di dalam najis penderma akan dimasukkan ke dalam saluran usus pesakit melalui prosedur kolonoskopi di mana sampel najis individu sihat akan dicampur dengan cecair saline sebelum di pindahkan ke dalam usus pesakit.

Selain itu, najis yang dikumpul turut digunakan dalam kajian bagi mencari penyelesaian baru menggunakan bakteria di dalam usus untuk merawat penyakit.

Bagaimana penderma dipilih?

Penderma perlu menjalani ujian terdiri daripada soal selidik yang mengandungi 200 soalan dan saringan ke atas lebih 24 sampel darah dan najis. (OpenBiome, n.d). Saringan yang agak ketat diperlukan bagi memastikan hanya najis dari individu yang sihat sahaja diperolehi. Oleh itu, sebanyak 97 peratus penderma tidak melepasi ujian ini.

Bagi penderma yang lulus ujian, mereka perlu menghantar sampel najis yang ingin disumbangkan beberapa hari seminggu dalam tempoh sekurang-kurangnya 60 hari. Sebagai penghargaan, penderma akan diberi saguhati bernilai kira-kira RM167 bagi setiap sumbangan.

Selain itu, mereka perlu mengulangi ujian kesihatan setiap dua bulan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti penyakit yang boleh menjejaskan kualiti najis mereka.

Berminat?

Sumber: John Hopkins Medicine, OpenBiome, WebMd

Amira

Love yourself.