Siakap Keli
Gambar: Facebook

Adik Isha Bakal Jalani Pembedahan Esok, Ibu Berserah Pada Allah & Minta Urusan Dipermudahkan

Esok merupakan hari yang ditunggu-tunggu keluarga adik Nur Falisha Mardina bt Fahme Rezuan, 1 tahun 9 bulan yang menghidap Cyst hygroma sejak dilahirkan.

Setelah bertarung dengan pembengkakan pada leher yang membesar dari hari ke hari, Isha bakal menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk membuang cecair pada leher yang menyebabkannya mengalami kesukaran untuk makan, minum dan bernafas.

Cyst hygroma merupakan pembesaran abnormal pada leher dan kepala bayi yang membesar dari masa ke masa disebabkan saluran sistem limpa yang berfungsi mengangkut sel darah putih tersumbat.

Pemeriksaan CT scan pada hujung bulan lepas telah mendapati pembengkakan itu merebak sehingga ke dada dan dijangka terus membesar sehingga memerlukan pembedahan.

Lantaran itu, ibu Isha, Nur Atekah Mohd Yusof meluahkan harapan agar pembedahan tersebut berjalan lancar.

“Ibu serah semuanya kepada Allah, ibu tahu anak ibu kuat. Tapi kadang-kadang ibu tak sanggup tengok Isha. Betapa besarnya ujian untuk Isha.

“Ibu harap esok pembedahan Isha berjalan dengan lancar. Cepat-cepat keluar ICU dan cepat-cepat kita boleh balik.

“Ibu tak kisah macam mana rupa Isha nanti, cuma ibu harap Isha kembali sihat macam dulu-dulu. Kembali senyum gelak tawa Isha untuk ibu dan ayah. Ibu ayah sayang Isha,” tulis Atekah di laman Facebook miliknya.

Semoga adik Isha diberi kesembuhan segera dan dipermudahkan urusan pembedahan esok.

Sumber: Icha Fahmie

Amira

Love yourself.