Siakap Keli

Rimas Waktu Tidur Badan Kerap Berpeluh, 10 Perkara Ini Termasuk Penyakit Tumor Mungkin Jadi Puncanya

Ramai saja diluar sana yang mengalami masalah berpeluh ketika tidur. Masalah ini sedikit sebanyak telah mengganggu tidur seseorang kerana tidak selesa dengan peluh yang banyak sehingga kerap terjaga dari tidur. Gangguan tidur seperti ini akan membuatkan tubuh badan tidak cukup rehat.

Masalah tidur berpeluh ini berlaku bukanlah disebabkan cuaca yang panas. Namun, masalah ini berlaku daripada pelbagai punca dan boleh dielakkan sekiranya tahu mengapa berlakunya tidur berpeluh ini. Ikuti perkongsian Hello Doktor di bawah.

Pernah ‘tak’ bangun dari tidur malam dan anda rasa baju basah? Adakalanya sampai cadar pun lencun. ‘Padahal’ semalam aircond on ‘aje kot’. ‘Dah’ tua-tua ‘ni’ takkanlah terkencing atas katil lagi, bukan? Haa..kalau ‘nak’ tahu sebabnya mengapa tidur berpeluh, bacalah artikel ini.

Keadaan sebenar

Tidur berpeluh yang menjadi topik perbincangan artikel kali ini bukanlah mengenai keadaan berpeluh yang disebabkan oleh suhu bilik panas atau memakai terlalu banyak lapisan selimut. Tetapi ia adalah mengenai night sweats atau berpeluh malam yang biasanya didasari oleh beberapa masalah kesihatan.

Situasi berpeluh malam yang dialami ini sering kali terjadi secara berulang-ulang sehingga menyebabkan anda terbangun dan mungkin memerlukan anda menukar cadar. Boleh bayangkan tahap ‘kebasahan’ yang dilalui?

Beberapa keadaan berikut boleh berlaku disebabkan beberapa masalah kesihatan seperti:

  1. Tiroid 

Berpeluh secara keterlaluan dan menjadi sensitif terhadap haba adalah merupakan antara gejala hyperthyroidism. Kelenjar tiroid berfungsi untuk mengawal metabolisme badan. Namun apabila terlalu banyak hormon, menjadikan ia berlebihan di dalam badan. Keadaan ini akan menyebabkan suhu badan meningkat.

  1. Gula dalam darah

Jika anda mempunyai diabetes, ia juga boleh menjadi punca mengapa anda tidur berpeluh. Glukosa dalam darah mungkin pada tahap yang baik sewaktu anda masuk tidur. Walau bagaimanapun, ia mungkin akan menurun semasa anda tidur.

Keadaan ini mungkin disebabkan anda mempunyai hari yang sangat aktif atau melakukan aktiviti fizikal pada waktu petang. Jika anda mengambil ubatan seperti insulin atau ubat jenis sulfonylurea untuk mengawal diabetes, ia mungkin penyebab hipoglikemia pada waktu malam yang anda alami.

  1. Tidur apnea

Berpeluh malam yang dialami mungkin disebabkan tidur apnea. Keadaan ini membuatkan pernafasan anda terhenti berulang kali ketika tidur. Apabila badan tidak mendapat oksigen, ia mungkin berada dalam mod ‘fight or flight’. Ia cenderung menyebabkan berpeluh.

  1. Asid refluks

Walaupun tidak banyak kajian menyatakan masalah ini menyebabkan berpeluh malam, tetapi terdapat pakar yang mencadangakn ia mungkin ada kaitan. Keadaan ini boleh dirawat dengan menghindari perkara-perkara yang boleh mencetuskan asid refluks seperti makan dalam saiz hidangan yang kecil dan elakkan makan sebelum tidur.

  1. Kanser

Kebanyakan kanser boleh menyebabkan anda berpeluh pada waktu malam. Tetapi kanser limfoma antara penyebab paling biasa. Satu perempat individu dengan limfoma Hodgkin akan mengalami keadaan berpeluh sewaktu tidur bersama demam sederhana.

  1. Ubat-ubatan

Terdapat ubatan boleh menyebabkan tidur berpeluh antaranya seperti cetaminophen dan NSAIDs seperti aspirin dan ibuprofen. Sesetengah ubatan untuk glaukoma dan mulut kering juga boleh merangsang kelenjar peluh anda.

  1. Tuberkulosis

Hampir separuh individu dengan masalah kesihatan ini akan mengalami night sweats. Selain berpeluh anda mungkin akan alami batuk yang serius bersama darah dan kahak.

  1. Kebimbangan

Anxiety atau kebimbangan biasanya disebabkan rasa risau, tekanan dan panik dan boleh menyebabkan anda berpeluh pada waktu siang. Keadaan ini juga boleh berlaku pada waktu malam. Mimpi ngeri dan ketakutan ketika tidur boleh menyebabkan individu yang mengalaminya tidur berpeluh dan jantung berdebar.

  1. HIV

Antara gejala biasa yang dihidapi oleh individu dengan HIV adalah kelenjar limfa bengkak dan kesakitan pada sendi. Namun, seorang daripada 10 individu dengan HIV dipercayai akan mengalami keadaan berpeluh pada waktu malam.

  1. Tumor

Ketumbuhan pada prostat, buah pinggang serta ketumbuhan pada ovari atau zakar, sama ada kanser atau tidak, boleh menyebabkan anda berpeluh malam. Night sweats adalah antara simptom klasik bagi sindrom carcinoid, kesan kanser yang jarang berlaku yang terdapat dalam sistem pencernaan atau paru-paru.

Keadaan lain:

  • Menopaus  – ‘Hot flashes’ satu keadaan yang berlaku sebelum dan selepas tempoh akhir haid juga boleh menyebabkan berpeluh malam.
  • Jangkitan – jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan tidur berpeluh pada waktu malam. Adakalanya ia turut mengakibatkan demam.
  • Pheochromocytoma – tumor yang jarang berlaku ini akan tumbuh di kelenjar adrenal tetapi tidak menyebabkan kanser. Cuma ia mengakibatkan badan anda mempunyai terlalu banyak hormon serta meningkatkan tekanan darah. Ia menyebabkan berpeluh malam selain sakit kepala dan peningkatan kadar denyutan jantung.

Dapatkan bantuan

Menggunakan suhu aircond yang lebih rendah dan kipas untuk membantu kitaran udara dalam bilik pastinya dapat memberikan anda tidur yang lebih selesa. Gunakan cadar yang cepat kering dan hindari memakai pakaian daripada material yang menyukarkan badan untuk ‘bernafas’ seperti fabrik sintetik.

Jika anda masih tidak pasti punca penyebab berpeluh pada waktu tidur yang anda alami, sebaiknya dapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut dengan doktor dan pakar perubatan yang bertauliah.

Sumber: Hello Doktor

Siti Natrah Jusof

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.