Siakap Keli
Gambar: Google

Lelaki Buat Laporan Palsu Disamun, Untuk Bayar Duit Main Judi

SEREMBAN, 22 Okt (Bernama) — Polis hari ini mengesan satu laporan polis palsu yang dibuat seorang lelaki yang mendakwa dirinya telah disamun semasa berada di belakang sebuah bangunan di Rahang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata pejabat pertanyaan Balai Polis Rahang telah menerima laporan polis berkenaan pukul 4.50 petang.

Katanya, bagaimanapun berdasarkan siasatan yang dijalankan, lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai sengaja membuat laporan palsu menyatakan telah disamun sebagai alasan untuk meminjam duit ibunya sebanyak RM4,000 bagi membayar duit majikannya yang telah dihabiskan untuk bermain judi pada minggu lepas.

“Dalam laporan tersebut lelaki berkenaan menyatakan dirinya disamun dan dicederakan oleh dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal ketika berada di belakang sebuah bangunan di kawasan Rahang, dan seterusnya suspek melarikan dokumen penting dan wang tunai sebanyak RM4,000 miliknya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, justeru pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat laporan polis palsu kerana mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.- BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.