Siakap Keli

“Nampak Macho, Tengok Artis Jadi Model”, Muka “Innocent”, Rupanya Ini Alasan Segelintir Budak Sekolah Hisap Vape

Seperti yang kita ketahui, perbuatan merokok itu boleh mendatangkan pelbagai penyakit kronik serta ketagihan. Ramai perokok sebenarnya ingin berhenti daripada menghisapnya namun tidak berjaya.

Pelbagai ubat ketagihan rokok yang terdapat dipasaran telah dicuba, namun masih tidak mampu menghilangkan masalah ketagihan yang ada dalam diri seorang perokok.

Kemudian timbul lah satu produk yang bernama vape, hangat dijual di pasaran kini. Penggunaan vape yang didakwa boleh menghilangkan masalah ketagihan rokok telah menjadi satu alternatif baharu dalam kalangan perokok.

Sungguhpun begitu, vape ini juga boleh merisikokan kesihatan seseorang yang menghisapnya. Walaupun ianya dikatakan lebih baik daripada asap rokok, namun ianya bukanlah satu kaedah alternatif yang baik.

Penggunaan serta vape ini juga dilihat semakin diterima oleh kebanyakan masyarakat kita Di Malaysia. Perbuatan ini seharusnya dipandang seperti sama sahaja dengan perbuatan merokok, kerana ianya adalah suatu tabiat yang tidak sihat untuk diikuti.

Apa yang akan terjadi jika anak-anak anda turut menghisap vape di depan anda? Adakah anda akan membiarkannya sahaja atau anda akan memarahinya? Itulah yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini apabila ada segelintir pelajar  sekolah yang ditangkap menghisap vape.

Jika tidak dibendung, ianya akan menjerumus mereka kepada kancah penagihan dadah dan seterusnya negara yang bakal diwarisi generasi mereka akan rosak pada masa akan datang.

Seorang pengguna Facebook yang bernama Shamsul Ramli ada berkongsikan kisahnya sewaktu memberi ceramah di sebuah sekolah mengenai perbuatan menghisap vape ini. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

Hari ini aku dijemput ke sebuah sekolah, untuk ceramah tentang bahaya rokok la, apa lagi. Cuma kali ini cikgunya minta aku tambah sikit berkenaan vape. No problem aku kata. Rokok mudarat, vape itu pun mudarat juga. Tiada bezanya bagi aku.

Sekolah ini adalah sekolah felda. Pelajarnya 100% melayu. Ya, anak bangsa aku, anak bangsa kita.

Sambil berceramah, sambil aku berinteraksi dengan budak-budak ini. Aku tanya siapa yang merokok disini, jujur mengaku dan angkat tangan.

HAMPIR separuh dari pelajar lelaki angkat tangan, sambil sengih-sengih. Jujur amat budak-budak ini rupanya.

Kemudian aku tanya pula, siapa yang hisap vape?

Kali ini LEBIH separuh dari pelajar lelaki angkat tangan.

Terus ketika itu aku rasa semacam, rasa nak menyirap darah pun ada.

Ada yang muka punya skema pun mengaku hisap vape!

Yang tak pernah hisap rokok pun mengaku hisap vape!

Bila aku tanya kenapa hisap vape, ini jawapan mereka:

– lebih sedap
– lebih mudah dibawa
– lebih selamat (selamat dari pemeriksaan guru dan ibu bapa)
– lebih selamat dari rokok (kata abang yang jual vape)
– lebih cool dan macho (tengok artis jadi model vape)

Kesan perbuatan menghisap vape

See, ini adalah alasan-alasan dari anak remaja kita. Ini jawapan jujur mereka, bukan cakap main-main, bukan cakap tipu-tipu.

Kita boleh salahkan mereka kerana menghisap, kita boleh menghukum mereka, tetapi bagaimana kita nak mengekang pengaruh buruk ini dari mempengaruhi mereka.

Ini yang aku ingin tanyakan kepada tokan-tokan vape, kepada selebetriti yang menjadi model vape. Ini tanggungjawab kalian, ini adalah atas kalian. Kalian kena jawab ni, tak jawab di sini, kalian kena jawab di akhirat nanti!

Benda ini benda berat, bukan benda main-main. Kalau berterusan perkara ini, boleh rosak seluruh masyarakat kita.

Sekarang ini aku mula merasakan yang vape ini benar-benar bakal mendatangkan mudarat yang lebih besar dari rokok.

Jauh lebih besar MUDARATnya.

Kalian boleh kata vape tidak sebahaya rokok, kalian boleh kata kandungan dalam vape lebih selamat dari rokok, kalian boleh kata vape ini mampu membantu perokok berhenti dari rokok.

Benda-benda sains dan teknikal ini aku malas nak ulas beria, aku serahkan sahaja kepada mereka yang pakar. Tetapi seperti biasa, walau pun pakar kesihatan telah mengeluarkan hujah, telah membuktikan dari segi saintifik dan kajian ilmiah, kalian tetap tidak boleh terima. Kalian tetap akan kaleng ke sana, kaleng ke sini.

Pengharaman vape

Sebab itu aku setuju sangat jika pihak berkuasa ingin mengharamkan terus penjualan vape ini, ban terus vape ini di Malaysia. Jika tidak pun, tolong kenakan peraturan yang maha ketat. Ikuti contoh di UK, kandungan nikotin yang terkawal, larangan pengiklanan di media sosial, malah menghembus ketika memandu pun boleh dikenakan saman.

Kita di Malaysia ini, artis berebut-rebut nak jadi model vape. Cool sangat la tu, macho sangat la tu. Bila kita tegur, dia salahkan ibu bapa, salahkan cikgu-cikgu. Sebab itu aku cakap, kalian jawab la nanti. Kalian jawab!

Kebiasaannya aku jarang minta orang share apa yang aku tulis, terpulang kalian yang membaca, rasa nak share, share, tak nak share takde masalah. Tetapi untuk ini, aku minta tolong, share lah, share sebanyak-banyaknya. Biar orang tahu, biar masyarakat sedar, biar tokan-tokan vape nampak, biar artis-artis kita ini terkedu.

Inilah realitinya di sekolah, inilah realitinya anak-anak remaja kita hari ini. Masalah rokok tak setel-setel, sekarang datang bala vape pula.

Kalau bukan kita yang selamatkan mereka, siapa lagi?

Sumber: Shamsul Ramli

Aqmal Ezany

I write what is right