Siakap Keli

Masyarakat Chetti Kongsi Kemeriahan Sambutan Deepavali

Sempena sambutan Deepavali yang akan diraikan esok, masyarakat Chetti Melaka di sini turut sibuk menyediakan segala persiapan untuk meraikan pesta cahaya itu.

Pesara kerajaan, K.Suppiah Pillay, 70, berkata sambutan Deepavali bagi masyarakat Chetti dan kaum India tidak jauh berbeza kerana mereka berkongsi perayaan yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata perbezaan yang ketara cuma dari segi pakaian dan makanan kerana masyarakat Chetti lebih terdedah kepada cara hidup orang Melayu.

“Pada pagi Deepavali kaum lelaki akan mengenakan hiasan kepala yang dikenali sebagai ‘talapa’ dan kain pelikat berbanding masyarakat India yang lazimnya memakai pakaian tradisional India iaitu dhoti,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Suppiah Pillay berkata kaum wanita masyarakat Chetti pula akan mengenakan baju kebaya pada sambutan Deepavali.

Beliau berkata dari segi ritual keagamaan juga tidak banyak bezanya, cuma masyarakat Chetti tidak melakukan upacara mandi minyak pada awal pagi sepertimana yang lazim dilakukan oleh masyarakat India di negara ini.

Suppiah Pillay berkata menjadi kelaziman bagi masyarakat Chetti menghidangkan makanan tradisi iaitu hidangan istimewa kepada pengunjung yang hadir ke rumah seperti tosei, iaitu diperbuat daripada beras yang direndam dan dikisar halus.

“Selain tosei…kami biasa sediakan nasi lemak, mee goreng, rendang dan beberapa kuih tradisional Melayu.

Suppiah Pillay berkata selain saudara-mara, ramai rakan-rakan bertandang ke rumahnya dan beliau sentiasa menerima tetamu yang hadir dengan hati yang terbuka.

“Bukan hanya orang Chetti sahaja yang datang ke rumah saya, orang Melayu, Cina…malah ada pelancong luar negara turut berkunjung ke rumah saya untuk melihat bagaimana kami (masyarakat Chetti) menyambut Deepavali,” katanya.

Sementara itu, P. Parachee, 64, berkata kemuncak kemeriahan sambutan Deepavali baginya adalah apabila saudara-mara dan rakan-rakan daripada pelbagai bangsa dan agama mengunjunginya.

“Oleh kerana kebanyakan daripada kawan saya adalah orang Melayu, saya akan pastikan, bahan yang halal bagi orang Islam dijadikan sebagai juadah Hari Deepavali,” kata ibu kepada dua anak yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Katanya pada Hari Deepavali beliau akan memakai baju kebaya kerana itu adalah tradisi yang diwarisi dari nenek moyangnya yang harus terus dipertahankan dan diikuti oleh generasi muda masyarakat Chetti hari ini.

Masyarakat Chetti Melaka adalah satu kelompok masyarakat minoriti India yang unik yang terbentuk hasil daripada perkahwinan campur antara orang Hindu dengan rakyat tempatan seperti Melayu, Cina dan lain-lain.

Mengikut catatan sejarah nenek moyang masyarakat Chetti Melaka merupakan saudagar rempah dari negara India yang datang berdagang di sini dan kemudianya menetap di Melaka.

Sumber: BERNAMA

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)