Siakap Keli
Gambar: Bernama

Seorang Rakyat Malaysia Ditemui Mati Dengan Kesan Tembakan Di Tanah Perkuburan Sungai Golok

NARATHIWAT, 27 Oktober (Bernama) – Seorang rakyat Malaysia ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di hadapan sebuah tanah perkuburan di Sungai Golok, Narathiwat, selatan Thailand awal pagi tadi.

Dalam kejadian  kira-kira 4.30 pagi (waktu tempatan), mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Faisal, 28, dari Rantau Panjang, Kelantan dipercayai ditembak selepas bertengkar dengan sekumpulan lelaki.

Penolong Ketua Polis Bahagian Siasatan Balai Polis Sungai Golok, Kapt Pol. Jaturon Thongkliang berkata lima das tembakan dari jarak dekat dilepaskan ke bahagian kepala, muka, dada dan kaki mangsa.

“Polis menemui lima kelongsong peluru di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jaturon berkata mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sungai Golok untuk bedah siasat dan pihak polis turut menghubungi waris mangsa.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati sebelum kejadian mangsa pernah bertengkar dengan lima lelaki berhampiran tempat kejadian.

“Saksi memberitahu bahawa mangsa cuba melarikan diri dari buruan lima lelaki tersebut. Dua daripada mereka telah melepaskan tembakan ke arah mangsa sehingga menyebabkannya rebah.

“Lima lelaki itu melarikan diri dengan menaiki dua buah motosikal,” katanya.

Sumber: BERNAMA