Siakap Keli
Kredit: Google

Kenapa Bila Kita Lupa Sesuatu Masa Berjalan, Kita Ingat Semula Bila Patah Balik? Ini Jawapan Saintis

“Mat, tolong ambilkan kunci kereta dalam bilik kat atas kejap,” laung mak Senah dari luar rumah.

“Okay mak.” Tanpa membuang masa, Mat yang sedang membalas mesej rakannya menaiki tangga menuju ke bilik yang dimaksudkan. Sesampainya di bilik,

“Eh, aku nak ambil apa tadi? Erm..” Lupa. Dia turun kembali untuk bertanya ibunya. Lepas menuruni dua tiga anak tangga, dia teringat semula arahan ibunya.

Mungkin kita pernah lalui situasi yang lebih kurang serupa – terlupa sesuatu ketika sedang bila berjalan. Bagi para ibu dan isteri pula mungkin sudah biasa terlupa senarai barang ketika pergi ke pasaraya. Bila balik je, penuh troli dengan barang lain. Haha.

Jangan risau. Terlupa ketika berjalan ini merupakan perkara biasa dan tidak menandakan kelemahan memori kita. Fenomena ini dinamakan ‘Doorway Effect’.

Ahli psikologi percaya bahawa tindakan melepasi pintu atau memasuki ruangan berlainan mewujudkan ‘sekatan mental’ di dalam otak di mana memori akan diprogramkan semula bagi memberi ruang kepada pembentukan episod baru (Science ABC, 2017).

Saintis turut merujuk fenomena ini sebagai kesan pengemaskinian lokasi (location-updating effect). Masuk sahaja tempat baru, memori kita akan menyediakan ruang untuk pengalaman baru.

Pernah tak anda teringat sesuatu kenangan selepas terhidu bau wangian seperti bedak dan sabun?

Hal ini kerana memori kita berkait dengan persekitaran fizikal dan mental yang mempunyai konteks sendiri seperti bau dan susunan perabot di sesuatu tempat.

Sebab itulah bila kita terhidu bau yang dikenali atau pulang ke kampung atau mana-mana tempat yang banyak kenangan, kita akan terimbau kembali memori-memori yang lepas.

Walaubagaimanapun, fenomena ini merupakan suatu yang normal dan tiada kaitan dengan kelemahan daya ingatan, skil kognitif dan kecerdasan anda. Jadi, jangan risau! Anda belum nyanyuk.

Sumber: BBC, Scientific American, Science ABC

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.