Siakap Keli
Kredit: Google

Selalu Dengar Orang Kata Makan Biji Cili Boleh Sebabkan Apendiks, Ini Penjelasan Doktor

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Pasti ramai yang pernah mendengar pesanan agar tidak memakan biji cili ataupun buah-buahan lain seperti jambu batu kerana ia dipercayai boleh menyebabkan apendiks.

Apendiks bukanlah satu penyakit, namun merupakan organ berupa kantung yang berada pada permulaan usus besar. Walaubagaimanapun, fungsi sebenarnya masih belum dikenalpasti. Apabila organ ini mengalami radang, inilah yang kita sering fahami dengan istilah apendiks.

Soalannya, benarkah radang ini berpunca daripada biji buah-buahan? Adakah ia mitos atau fakta?

Untuk mengetahui lebih lanjut, jom kita baca penjelasan daripada Hello Doktor.

Menurut Dr Maisara Yusra yang merupakan Penolong Profesor Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), tiada sebarang kajian saintifik berjaya membuktikan radang apendiks adalah disebabkan pemakanan. Jadi, kepercayaan biji cili boleh menyebabkan sakit apendiks yang selama ini ditakuti masyarakat kita adalah mitos semata-mata!

Beliau menambah lagi bahawa kepercayaan ini datangnya daripada petua masyarakat terdahulu yang percaya biji cili dan pelbagai lagi makanan lain seperti biji anggur, tembikai dan jambu batu boleh tersangkut dan tersimpan pada pundi apendiks. Sebenarnya, semua orang berisiko mengalaminya walaupun tidak makan biji makanan seperti yang dinyatakan.

Hakikatnya, segala makanan yang keras seperti biji cili dan sebagainya akan hancur di dalam perut disebabkan oleh asid perut.

Selepas hancur sepenuhnya, barulah ia akan masuk ke usus untuk proses pembuangan najis. Jadi, pemakanan bukanlah punca radang apendiks. Tetapi, apakah punca sebenar ia berlaku?

Dr Maisara turut menyatakan bahawa radang apendiks (appendicitis) bukanlah sejenis penyakit tetapi satu kondisi di mana pundi apendiks (vermiform apendiks) tersumbat.

Untuk anda yang belum tahu, ia adalah satu struktur berbentuk tiub yang terletak pada bahagian pemulaan usus besar. Pun begitu, fungsi sebenar organ ini masih belum dapat diketahui dengan tepat.

Mengapa ia boleh tersumbat jika bukan sebab pemakanan? Ia adalah disebabkan oleh bukaan apendiks menuju ke tiub besar atau sekum tersekat.

Sekatan ini mungkin berlaku akibat lendir tebal dalam apendiks atau serpihan najis keras daripada tiub besar termasuk ke pundi apendiks. Inilah punca sebenar radang apendiks berlaku.

Selain itu, kondisi ini juga boleh berlaku berpunca daripada jangkitan bakteria. Ia sering menyerang golongan muda sekitar usia 10 hingga 30 tahun.

Untuk merawatnya, doktor hanya akan beri penderita antibitiotik untuk melegakannya. Jika masih tidak pulih, cara terbaik untuk menghilangkannya adalah melalui pembedahan membuang pundi apendiks (apendektomi).

Sumber: Hello Doktor

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.