Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Anggota Polis Dan Isteri Maut Nahas Motosikal

Kuala Lumpur : Seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam dan isterinya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori di Jalan Syed Putra, di sini, menghala ke pusat bandar, pagi tadi.

Mangsa yang terlibat kemalangan berkenaan dikenali sebagai Lans Koperal Muhammad Shakiran Shamsuddin, 30, manakala isterinya hanya dikenali sebagai Nurul Ashikin Kamaruddin, 27.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian pada kira-kira 8 pagi tadi, Muhammad Shakiran yang cedera di perut meninggal di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) manakala isterinya yang cedera di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah Allahyarham Nurul Ashikin yang merupakan petugas Jabatan Kerja Raya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Zulkefly berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki Muhammad Shakiran dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar melanggar bahagian kiri sebuah lori yang berhenti di laluan tengah akibat kesesakan lalu lintas.

“Ketika kejadian Muhammad Shakiran yang berada di lorong kiri dan ingin mengubah haluan ke lorong tengah, gagal mengelak lori terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.