Perrnahkah anda merasai sakit perut yang teramat sangat? Jika ya, segeralah rujuk kepada doktor bagi mendapatkan rawatan secepat mungkin kerana sakit perut anda itu mungkin bukan sakit perut yang biasa-biasa.
Seorang pengguna Instagram bernama Ummi Nadia ini ada berkongsikan kisahnya berkenaan dengan sakit perut yang dialaminya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:
Kisahnya bermula apabila dia dikejutkan dengan rasa sakit yang amat pada perutnya sehingga menyebabkan dia sukar untuk bernafas dan kegigilan. Tanpa berlengah lagi, dia telah kejutkan suaminya untuk membawanya berjumpa dengan doktor.
Selepas pergi ke klinik, doktor telah mengesahkan bahawa dia telah mengalami gastrik. Menurutnya, walaupun dia mempunyai penyakit gastrik, penyakit itu tidaklah terlalu kerap menyerangnya. Selepas diberi suntikan, kesakitannya itu mulai reda.
Namun dia dapat merasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena selepas dia diserang sakit yang sama sebanyak 2 kali dalam masa 1 malam. Bukan itu sahaja, dia turut muntah sebanyak lebih daripada 10 kali. Namun selepas dia diberi makan ubat dan suntikan, sakit itu mulai reda untuk seketika.
2 hari berikutnya, kesakitan itu mula dirasainya secara perlahan-lahan. Dia pun terus makan ubat yang diberi oleh doktor sebagai langkah awal untuk mencegah sakit itu.
Walau bagaimanapun, ubat tersebut gagal untuk menghalang sakit perutnya itu. Secara perlahan-lahan sakit itu muncul. Pada mulanya dia merasakan bahawa perutnya itu mula rasa berangin dan disusuli dengan sukar untuk bernafas, menggigil, seterusnya rasa nak pitam.
Kerana sudah tidak tahan dengan kesakitan yang dirasai itu, dia terus dibawa ke sebuah hospital dan telah dimasukkan ke bahagian kecemasan untuk diperiksa oleh pihak doktor.
Sesudah diperiksa melalui kaedah endoscopy serta ultrasound, doktor telah mengesahkan bahawa dia telah menghidapi sejenis penyakit yang bernama hiatal hernia.
Menurutnya, hiatal hernia ini merupakan penyakit yang lebih sakit daripada gastrik. Doktor yang merawatnya menyatakan bahawa penyakit ini sudah mula popular di Malaysia. Puncanya terjadi kerana gaya hidup serta pengambilan makanan yang tidak dikawal.
Telah menjadi satu trend di Malaysia ini apabila tularnya sesuatu makanan atau minuman itu, ianya pasti akan diburu. Penyakit ini mungkin boleh terjadi disebabkan kandungan makanan yang tidak seimbang di dalam sesuatu makanan yang tular itu.
Sumber: Ummi Nadia