Siakap Keli

Gajah Liar Buat ‘Penampilan Khas’ Sambut Pengunjung Di Taman Negara Thailand

BANGKOK, 30 Okt (Bernama) — Seekor gajah liar membuat ‘penampilan khas’ menyambut kedatangan pengunjung di Taman Negara Khao Yai, di sini, semalam.

Rakaman foto dan video gajah jantan yang dikenali sebagai Duea, 35, kelihatan berjalan di sebelah sebuah kereta di Jalan Thanarat di Taman Negara Khao Yai, wilayah Nakhon Ratchasima kira-kira jam 4 petang, waktu tempatan semalam.

Duea dilihat berjalan melepasi kereta sebelum berbaring di atas kenderaan itu dan pemandu kereta bertindak pantas memecut kenderaannya jauh dari gajah itu.

Rakaman video itu juga menunjukkan cermin belakang kereta pecah manakala bumbung dan bahagian badan kereta juga rosak.

Dalam satu kenyataan, Taman Negara Khao Yai berkata gajah jantan itu kebiasaannya keluar dari hutan semasa musim hujan dan sejuk.

“Gajah ini suka bermain dengan kereta kecil tetapi tidak membahayakan sesiapa pun,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu pegawai Taman Negara Khao Yai menasihati pelancong dan pengunjung supaya bertindak  dengan sewajarnya apabila gajah liar itu muncul.

Pegawai taman itu berkata pemandu sepatutnya menghentikan kenderaan mereka kira-kira 30 meter daripada gajah.

“Pemandu perlu berundur jika gajah makin menghampiri dan jika kereta itu dikelilingi kumpulan gajah, pemandu perlu mengalihkan kereta ke kawasan yang kurang haiwan itu.

“Jangan memberhentikan kereta untuk mengambil gambar kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kenderaan dan keselamatan pemandu serta penumpang. Jangan membunyikan hon atau membuat bunyi bising, ” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa