Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan/The National

Pemakaian Patuh Syariat Bukan Sesuatu Yang Aneh – MBM

Kuala Lumpur : Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan pemakaian atlet mengikut syariah bukan lagi sesuatu yang aneh, malah melihat langkah ini perlu dirai kerana berjaya mencipta fenomena baharu dalam persada sukan negara.

Perkara ini dibuktikan dengan penampilan atlet lawan pedang pertama dari Amerika Ibtihaj Muhammad dan peluncur ais dari Arab Saudi Zahra Lari, yang pernah mencipta sensasi apabila menggegar sukan dunia dengan tampil mewakili negara masing-masing dengan imej bertudung pada 2016 dan 2017.

Tambahan pula, jenama-jenama antarabangsa juga kian rancak mengeluarkan produk mesra muslim, dalam pelbagai jenis sukan bagi melariskan jualan mereka.

“Ekosistem yang sihat ini wajar diteruskan kerana ia mampu meningkatkan kesedaran masyarakat dalam perihal menjaga kehormatan diri dalam bersukan.

“MBM mendokong penuh kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di mana beliau menyatakan pendirian bahawa pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggalakkan tanpa paksaan kepada atlet negara dalam mematuhi pemakaian patuh syariat, apabila menyertai pertandingan atau kejohanan,” kata Ketua Penerangan MBM, Wan Mohd Husni Abdullah dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada sesi sidang Dewan Rakyat semalam, Syed Saddiq turut menegaskan KBS yakin bahawa atlet dan persatuan sukan lebih arif akan kesesuaian dari segi pemakaian, terutama untuk meningkatkan prestasi mereka.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kerajaan negeri itu sedang merangka satu garis panduan pemakaian patuh syariah bagi atlet.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.