Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Tawaran Pembelian Kediaman Untuk Warga Asing Hanya Untuk Setahun

Kuala Lumpur : Cadangan menurunkan had harga kondominium dan pangsapuri di bandar yang boleh dibeli warga asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 bakal dilaksana untuk tempoh satu tahun sahaja.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata ia hanya melibatkan 3,938 unit kediaman seumpama itu yang belum terjual.

”Ini merupakan cadangan untuk satu tahun sahaja, dari Januari hingga Disember tahun depan untuk pangsapuri dan kondominium di bandar.

”Ia juga untuk rumah yang dah siap, bukan rumah yang belum siap. Ada spekulasi pemaju akan buat rumah lagi (untuk pembeli warga asing). Ini tidak masuk akal kalau Jabatan Perumahan Negara hendak meluluskan perkara demikian,” katanya.

Zuraida berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini bagi pihak kementeriannya.

Zuraida berkata pelaksanaan cadangan itu diharap dapat memulihkan sedikit kedudukan kewangan pemaju agar mereka boleh terus terlibat dalam pembinaan rumah mampu milik.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan langkah itu semasa pembentangan Belanjawan 2020 bagi membantu mengurangkan lambakan unit kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual bernilai RM8.3 bilion pada pada suku kedua 2019.

Zuraida meminta semua pihak tidak risau kerana jumlah pemilikan rumah oleh warga asing bagi tempoh Januari hingga Jun lepas amat rendah iaitu 398 orang (0.4 peratus) berbanding pemilikan oleh rakyat Malaysia iaitu 99,524 orang (99.6 peratus).

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.