Siakap Keli

Analisis Bongkar Isu Vape, Pakar Sangkal Dakwaan Vape Membantu, Penonton Turut Berdebat

Rancangan Analisis di Tv Alhijrah sekali lagi bersiaran dengan topik yang menjadi perdebatan ramai iaitu Vape: Selamat atau Sekat yang diulas oleh tiga orang panel jemputan terdiri daripada Dr. Noryana sebagai Pakar Perunding Kesihatan Awam dan NCD Epidemiologi, seorang aktivis/pengguna vape, dan Norman Naim, Ketua Pengarah Program Kempen Ayah Jangan Merokok.

Intipati bagi topik ini begitu menarik sehingga mendapat pelbagai reaksi dari netizen yang juga mempertahankan pendapat masing-masing.

Perbincangan mengenai topik ini dihangatkan dengan perbezaan pandangan daripada ketiga-tiga panel yang menambahkan lagi ‘rencah’ dalam kalangan netizen.

Ada segelintir netizen yang tidak berpuas hati dengan kenyataan aktivis yang mempertahankan penggunaan vape sebagai ‘alat’ bantuan untuk berhenti menghisap rokok.

Menurutnya, Malaysia merupakan negara pengeluar vape nombor dua di dunia dan diiktiraf oleh negara maju. Vape juga merupakan satu proses untuk menghilangkan ‘habit’ merokok dan menyeru kerajaan untuk meregulasikan penggunaan vape serta menjadikannya sebagai pilihan kedua selepas rokok.

Susulan kenyataan itu, ramai penonton secara langsung rancangan berkenaan tidak berpuas hati dan membidas melalui ruangan komen.

Selain daripada kenyataannya, penonton turut dilihat tidak berpuas hati apabila Dr Noryana menyifatkan kedua-dua ‘bahan’ itu, rokok dan vape adalah racun.

Beliau menegaskan bahawa vape tidak mempunyai tahap yang selamat sama sahaja seperti rokok dan nikotin yang wujud dalam vape akan menghasilkan hormon dopamin yang boleh memudaratkan pengguna. Beliau juga tidak bersetuju untuk menjadikan vape sebagai pilihan kedua untuk menghilangkan ketagihan merokok.

Rancangan yang disiarkan pada jam 9 malam tadi mendapat lebih 20,000 tontonan dengan pelbagai reaksi penonton yang meluahkan pendapat masing-masing di ruangan komen.

Sebelum ini, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang 21 Disember 2015 bahawa hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram.

Pandangan hukum oleh Muzakarah ini dimaklumkan oleh Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr Abdul Shukor Haji Husin pada sidang media selepas Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia

Tan Sri Dato’ Dr Abdul Shukor berkata semua ahli muzakarah bersetuju bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram. Keputusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.
Kajian dari sudut kesihatan turut diambil kira hasil maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang melakukan pengumpulan maklumat mengenai kesan penggunaan bahan itu di seluruh dunia. Malah pakar kesihatan juga mendapati vape dan rokok elektronik tidak dapat membantu perokok dan perokok tegar untuk berhenti merokok

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam, Facebook Tv Al-Hijrah

Sofea

There's always another side to every story

Nur Farra