Siakap Keli

Dipercayai Brek Tak Berfungsi, Pemandu Treler Bawa Konkrit Ditahan Polis

Susulan kemangan maut yang melibatkan sebuah treler dan lima buah kenderaan di Km 257 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora malam tadi yang mengakibatkan dua lelaki maut, pihak polis telah menahan seorang pemandu treler untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata pemandu treler berusia 41 tahun yang beralamat di Kedah itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut, dan ujian saringan air kencing terhadapnya negatif.

Beliau berkata siasatan awal mendapati  konkrit yang terjatuh mengakibatkan kerosakan pada lima kereta terdiri daripada Honda City, Perodua Axia, Nissan Sylphy, Proton Iriz dan Mercedes Benz serta sebuah treler lain yang melalui laluan di kedua-dua arah.

“Pemandu dipercayai cuba mengelak daripada melanggar kenderaan di hadapan dengan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan lalu mengakibatkan tiang konkrit yang dibawa terjatuh dan dua daripadanya memasuki laluan bertentangan sebelum menghempap Honda City dan dilanggar kenderaan lain,” katanya.

Katanya lagi akibat kejadian itu, pemandu Honda  City dikenali sebagai Leong Woei Ser, 34, dan penumpang Cheah Kim Seng, 60, maut di lokasi, manakala dua lagi penumpang kereta itu parah.

“Pemandu Perodua Axia dan pemandu treler mengalami cedera ringan, manakala pemandu tiga kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Razali, siasatan awal mendapati treler itu membawa muatan 18 tiang konkrit dari arah selatan dan brek kenderaan itu dipercayai tidak berfungsi, mengakibatkan pemandu hilang kawalan ketika menuruni bukit.

Sumber:  BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)