Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Elok Berkilau, Pak Belang Dapat Gigi Palsu Emas Ganti Taring Lama Patah

Seekor harimau di sebuah pusat pemuliharaan di Jerman telah dipasangkan sebatang taring emas selepas taring asalnya terpatah semasa ia mengunyah mainannya.

Cara, seekor harimau Bengal seberat 57 kilogram, telah menerima sebatang taring yang diperbuat dari emas untuk menggantikan taringnya yang rosak sebelum ini di sebuah pusat pemuliharaan yang terletak di Massweiler.

Sepasukan pakar yang terdiri daripada doktor gigi dari Denmark terpaksa berkunjung ke pusat perlindungan haiwan Tierart sebanyak dua kali bagi memastikan taring emas tersebut muat dipakaikan dalam mulut Cara.

Gambar: Daily Mail

Pembedahan tersebut memakan masa selama lebih dari 2 jam, manakala pembedahan kedua pula berlangsung selama sekitar sejam setengah.

Sepasukan doktor gigi tersebut menggunakan gam khas serta cahaya UV untuk melekatkan taring itu.

Gambar: Daily Mail

Tiga minggu selepas pembedahan itu dijalankan, Cara telah pulih sepenuhnya serta dilihat tiada masalah menggunakan taring tersebut.

Penjaga harimau tersebut menyatakan bahawa pada mulanya Cara dilihat ambil masa yang agak lama juga untuk menyesuaikan taring barunya itu.

Cara juga turut diberikan daging tanpa tulang sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan taring tersebut tidak tercabut.

Ahli biologi Eva Lindenschmidt berkata: “Kami berasa senang hati melihat Cara boleh menggigit secara sedia kala serta melihat ia senyum dengan taring emas barunya.

Gambar: Daily Mail

“Pembedahan tersebut tidak menunjukkan sebarang komplikasi yang tak diingini dan taring tersebut muat dengan sempurna dalam mulut Cara, kami amat berpuas hati selepas melihat Cara boleh gigit seperti sedia kala.’

Cara telah ditemui di sebuah tanah persendirian yang terletak di sebuah ladang ternakan di Mugnano, Itali pada 2013. Dia telah dirampas oleh pihak berkuasa sebelum dipindahkan ke pusat perlindungan haiwan Tierart di Massweiler, Jerman pada tahun 2015.

Gambar: Daily Mail

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right