Siakap Keli

Nampak Jernih, Selamat Ke Minum Terus Air Tepi Bukit?

Situasi mengumpulkan air daripada saliran-saliran air tepi bukit atau tepi jalan dan disimpan di dalam botol oleh beberapa individu pasti pernah dilihat oleh sesetengah dari kita. Air yang keluar daripada salur paip yang tertanam di sisi bukit itu diambil kerana dikatakan dari sumber semula jadi dan menjadi punca mata air.

Namun, sebenarnya saluran paip tersebut hanya berfungsi untuk mengeluarkan lebihan air daripada bukit tersebut bagi mengelakkan takungan yang boleh menyebabkan tanah runtuh.

Air yang diambil tersebut ada yang terus diminum kerana dikatakan mempunyai pelbagai manfaat tanpa dimasak terlebih dahulu. Tetapi, adakah ia benar-benar selamat untuk diminum terus? Ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Barangkali ramai yang berfikir, air yang keluar terus daripada permukaan muka bumi adalah selamat untuk diminum terus, atas alasan ia adalah sumber semula jadi. Benarkah tanggapan sebegini? 

Gambar sekadar hiasan

Tidak selamat diminum terus

Walaupun air yang keluar daripada sisi bukit tersebut tidak berkeladak dan berwarna jernih, tidak bermakna bahawa ia selamat untuk diminum secara langsung. Tambahan lagi, kita tidak mengetahui sumber asal air tersebut, atau apa yang telah dilalui oleh air tersebut sebelum anda mengumpulkannya. 

Mengapa anda tidak boleh meminum air tersebut secara langsung?

Sebelum air tersebut sampai ke tempat anda mengumpulnya, air tersebut mungkin telah melalui kawasan lain yang telah tercemar dengan bahan kimia berbahaya, selain mengandungi bakteria, parasit dan virus yang boleh merisikokan kesihatan tubuh.

Anda perlu berhati-hati dengan organisme bawaan air seperti Cryptosporidium, Giardia dan E. coli yang boleh menyebabkan mual, muntah-muntah dan cirit-birit.

Air yang tidak dirawat terlebih dahulu ini mungkin mengandungi bahan kimia yang boleh menyebabkan kesan kesihatan jangka panjang seperti kerosakan hati dan buah pinggang.

Antara jenis bahan kimia berbahaya yang boleh terkandung dalam air yang tidak dirawat adalah :

Arsenik: boleh menyebabkan kanser pundi kencing, buah pinggang dan kulit

Fluorida: boleh menyebabkan fluorosis iaitu penyakit yang disebabkan oleh pengambilan fluorida secara berlebihan

Kromium: boleh menyebabkan kanser dan masalah pernafasan

Perchlorate: boleh menyebabkan hipotiroidisme

Plumbum: boleh menyebabkan anaemia dan serangan penyakit secara tiba-tiba

Logam radioaktif: pendedahan jangka waktu yang lama boleh menyebabkan kanser kulit

Pencemaran kawasan sekitar

Air jenis ini boleh memberikan risiko yang lebih besar terhadap golongan yang berisiko tinggi mendapat penyakit seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas. Anda tidak boleh menganggap segala yang dihasilkan secara semula jadi adalah selamat untuk diambil secara terus.

Anda mungkin lupa bahawa persekitaran yang sedang kita sedang diami ini bukanlah satu persekitaran yang benar-benar semula jadi lagi. Hampir kesemua kawasan telah tercemar sama ada di udara mahupun di darat dan lautan.

Air pula merupakan salah satu elemen yang paling teruk dan mudah terkesan akibat pencemaran ini. Oleh itu, kesemua sumber air yang anda peroleh, perlulah ditapis dan dirawat terlebih dahulu sebelum diminum.

Daripada anda bersusah payah mengumpulkan air di tepi jalan atau bukit yang belum pasti bersih dan selamat, guna sahajalah air paip di rumah dan pastikan ia dimasak dan ditapis sebelum diminum.

Air paip di rumah anda tersebut sudah dirawat dan lebih bersih berbanding air di tepi jalan tersebut. Tidak perlulah berpenat untuk beratur mengumpulkan air seolah-olah tidak terdapat bekalan air di rumah anda.

Sumber : Muhammad Wa’iz/Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra