Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pukul Dan Tumbuk Isteri, Penyambut Tetamu Hotel Dipenjara Lapan Bulan

Melaka : Seorang penyambut tetamu sambilan di sebuah hotel dihukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya dengan memukul dan menumbuk mangsa ekoran perselisihan faham, Sabtu lepas. 

Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Iqbal Rahim, 24, dan memerintahkan bapa tiga anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap, semalam.

Lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan cedera ke atas isterinya yang berusia 24 tahun dengan memukul di badan dan kaki serta menumbuk muka mangsa di tepi jalan berhampiran sebuah kedai gunting rambut, Taman Malim Jaya, di sini, pada 8.30 malam, 26 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A, akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, berlaku perselisihan faham antara tertuduh dan isterinya sebelum lelaki itu bertindak mencekik dan memukul mangsa sehingga terjatuh ke kaki lima di tepi jalan berhampiran longkang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh, namun tertuduh merayu hanya dikenakan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung tiga anak berusia empat tahun hingga 10 bulan.

Sementara itu di mahkamah sama, Mohamad Iqbal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan dadah methamphetamine kepada diri sendiri, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sini, pada 8.20 pagi, 27 Okt lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 2003) dan hendaklah menjalani pengawasan di bawah Seksyen 38(B) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Dis untuk sebutan semula kes.

Sumber : Front Desk Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.