Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Vape Bahaya, Tapi Ramai Tak Tahu Jika Guna Perisa Ini Rupanya Lagi Mengundang Padah – Kajian

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Bila sebut sahaja rokok elektronik atau vape, pastinya umum mengetahui ianya telah mendapat sambutan yang sangat hangat dalam kalangan perokok tanpa mengira usia dan jantina. Ini kerana ia kononnya lebih selamat dan tidak mempunyai kandungan bahan kimia berbahaya kecuali nikotin.

Selain itu, pelbagai pilihan perisa vape yang turut menjadi punca mengapa ia sangat popular. Pun begitu, tahukah anda bahawa terdapat cecair vape yang mengandungi bahan kimia berbahaya? Untuk mengetahuinya, ikuti perkongsian oleh Hello Doktor seperti di bawah.

Bahaya cecair vape berperisa mentol

Menurut kajian terbaharu yang dijalankan oleh Duke University di Amerika, 3 daripada banyak lagi cecair vape berperisa mentol yang dikaji mengandungi pulegone, sejenis bahan kimia karsinogenik yang dikatakan boleh menjadi punca kanser!

US Food and Drug Administration (FDA), telah bertindak mengharamkan apa-apa sahaja penggunaan produk yang mengandungi bahan kimia ini pada bulan Oktober tahun 2018 untuk melindungi pengguna daripadanya. Namun begitu, ia masih terlepas dan terkandung di dalam beberapa jenama cecair vape terutamanya yang berperisa mentol.

Meskipun FDA telah melakukan pemantauan dalam pemprosesan setiap bahan makanan, minuman, ubatan atau produk tembakau seperti rokok, proses ini dikhuatiri tidak dapat mengawal pemprosesan cecair vape. Ini sekali gus menyebabkan bahan kimia berbahaya seperti pulegone ini tidak dapat dikawal dan terlepas kepada pengguna. 

Pulegone, toksik kepada manusia

Buat anda yang masih tertanya-tanya, pulegone adalah bahan kimia berupa minyak yang berasal dari tumbuhan dan berbahaya kepada manusia. Menurut kajian makmal yang menggunakan tikus sebagai subjek, pengambilan bahan kimia ini telah menyebabkan berlakunya kanser pundi kencing dan kanser hati.

Sebenarnya, bahan kimia ini tidak hanya terkandung dalam cecair vape malahan juga boleh berada dalam makanan dan minuman, dengan kuantiti yang sangat rendah. Pun begitu, FDA masih bertekad untuk menyingkirkannya daripada senarai aditif yang diperakui untuk tujuan keselamatan pengguna produk.

Untuk pengetahuan anda, bahan kimia ini merupakan bahan utama dalam pembuatan cecair vape dan rokok berperisa mentol yang dikatakan lebih berbahaya berbanding rokok atau cecair vape biasa. Hal ini pertama sekali diperakui oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC), yang menyatakan bahawa kedua-dua kit merokok ini mengandungi toksik yang berbahaya buat manusia. 

Berbaloikah ambil risiko?

Meskipun FDA telah mengeluarkan amaran kepada syarikat pengeluaran rokok dan cecair vape berperisa mentol untuk menurunkan tahap pulegone di dalam produk mereka, ia masih berisiko tinggi kepada penggunanya.

Menurut Dr Sven-Eric Jordt yang merupakan pakar perubatan dari Duke University, FDA sebenarnya perlu lebih mengetatkan peraturan mengenai penggunaan pulegone di dalam apa-apa sahaja produk yang digunakan oleh pengguna terutamanya rokok dan cecair vape berperisa mentol yang sangat longgar pengawasan dan pengawalannya. 

Buat individu pula, adakah berbaloi untuk anda membahayakan kesihatan semata-mata ingin mendapatkan kepuasan sementara dengan merokok? Ketahuilah bahawa segala produk cecair vape dan rokok sama ada berperisa mentol atau biasa sebenarnya memang mengandungi pelbagai lagi bahan kimia berbahaya!

Jadi, setiap kali anda mengunjungi kedai rokok atau vape untuk membeli apa-apa sahaja kit dengan tujuan untuk menghembus asap tidak sihat ke udara, fikirkan semula.

Sumber : Ahmad Farid/Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Nur Farra