Siakap Keli

156 Kawasan Di Hulu Langat, Kuala Lumpur Alami Gangguan Bekalan Air

KUALA LUMPUR, 1 November – Sebanyak 95 kawasan di wilayah Hulu Langat serta 61 kawasan di Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual hari ini ekoran masalah teknikal ‘bandscreen’ (sistem penapisan air mentah) di Loji Rawatan Air Sungai Langat yang berlaku pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, insiden ini menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat sebanyak 179 juta liter sehari dan jangka masa pemulihan masih tidak dapat ditentukan buat masa ini.

Syarikat itu bagaimanapun menjelaskan status gangguan bekalan air itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Antara kawasan yang terlibat di wilayah Hulu Langat adalah Balakong, Bandar Mahkota Cheras, Bandar Tun Hussein Onn, Pekan Kajang, Country Heights, Batu 10 – 14 Jalan Cheras, Desa Budiman, Kampung Sungai Raya, Kampung Sungai Ramal, Saujana Impian, Taman Suntex, Taman Sutera Residences dan Taman Titiwangsa.

Kawasan di sekitar ibu kota yang terlibat pula antaranya Jalan Cheras, Jalan Cochrane, Kampung Pandan Dalam, Kampung Pandan Luar, Taman Cheras, Taman Midah, Taman Desa Baiduri, Taman Connought, Cheras Hartamas, Jalan Ampang Kiri dan Desa Pahlawan.

Maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan itu boleh rujuk aplikasi Air Selangor atau melayari www.airselangor.com.

Sumber: BERNAMA

" "