Siakap Keli

Pelumba Petronas Yamaha SRT Terpantas Dalam LB1

SEPANG, 1 Nov (Bernama) — Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) mendapat petanda baik di tempat sendiri apabila memperoleh kedudukan pertama dan kedua dalam sesi pembukaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2019 di Litar Sepang di sini, hari ini.

Muka baharu dari Perancis, Fabio Quartararo mencatatkan rekod lap terbaharu satu minit 59.027 saat (s) dalam sesi latihan bebas (LB1) Kelas MotoGP.

Pelumba berusia 20 tahun itu yang mengalami kecederaan selepas kemalangan dalam sesi latihan pertama GP Australia, minggu lepas, mendahului rakan sepasukan Franco Morbidelli.

Morbidelli mencatat masa kedua terpantas dengan 1:59.110s sementara Maverick Vinales daripada pasukan Monster Energy Yamaha  MotoGP, mencatat masa 1:59.218s.

Pelumba Jepun, Tetsuta Nagashima daripada pasukan ONEXOX TKKR SAG mencatat masa 2:36.300s, masa terpantas dalam Kelas Moto2, diikuti pemenang GP Australia, Brad Binder daripada pasukan Red Bull KTM Ajo dengan masa kedua terpantas, 2:06.410s.

Pendahulu kejohanan Alex Marquez daripada pasukan EG 0,0 Marc VDS melengkapkan tiga pelumba dengan masa terpantas, dengan  2:06.790s.

Dalam Kelas Moto3, pelumba Mugen Race Andrea Migno mengakhiri pembukaan sesi LB1 dengan masa 2:18.921s diikuti pelumba Sepanyol Aron Canet daripada pasukan Sterilgarda Max Racing yang membuat catatan masa 2:19.272s.

Lorenzo Dalla Porta daripada Leopard Racing ketiga terpantas dengan catatan 2:20.212s.

Pelumba Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah yang mewakili Red Bull KTM Tech 3 mencatat masa 2:01.579s untuk berada di kedudukan ke-19 dalam latihan bebas Kelas MotoGP sementara Adam Norrodin daripada Petronas Sprinta Racing di tempat ke-28 dengan masa 2:09.107s.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa