Siakap Keli
Gambar: wbur.org

KKM Rampas Produk Nikotin Dijual Tanpa Lesen Bernilai RM6.38 Juta

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas 35,439 produk disyaki mengandungi nikotin melibatkan rampasan bernilai RM6.38 juta dalam satu operasi bersepadu di seluruh negara semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan  Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata rampasan hasil operasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi terhadap 28 premis di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu itu adalah tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan nikotin tanpa lesen.

“Penjualan produk  yang mengandungi nikotin hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan seperti Terapi Penggantian Nikotin bagi perokok yang ingin berhenti merokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi bersepadu kali ini dilaksanakan hasil risikan oleh KKM ke atas aduan dan maklumat yang diterima dari orang awam berkenaan penjualan rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin kepada orang ramai khususnya kepada golongan pelajar sekolah dan belia yang didapati semakin berleluasa termasuk di platform e-dagang dan media sosial.

Dr Noor Hisham berkata KKM telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta di laman media sosial.

Sepanjang 2019, sebanyak 165 laman sesawang seperti blogspot dan media sosial dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube untuk tindakan sekatan.

Nikotin merupakan Racun Kumpulan C dan dikawal di bawah Akta Racun 1952. Penjualan nikotin secara berleluasa tanpa lesen yang sah adalah satu kesalahan dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta Racun 1952 iaitu denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sediaan nikotin juga dikawal di bawah Akta Jualan Dadah 1952 (Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984) dengan produk-produk mengandungi nikotin termasuklah cecair rokok elektronik perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Dr Noor Hisham menasihatkan penjual, pengedar, pengilang dan pengimport untuk menghentikan serta-merta sebarang aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan cecair yang mengandungi nikotin.

“KKM akan meneruskan pemantauan serta menjalankan operasi secara berterusan dengan pelbagai pihak bagi memastikan penjualan cecair rokok elektronik bernikotin dapat dibanteras.

“Orang ramai dan pihak media boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan penjualan cecair rokok elektronik mengandungi nikotin kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi atau melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my/  atau di talian 03-78413200 bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran,” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa