Siakap Keli
Kredit: Siti Awe

(Gambar) Pad Bertimbun Hingga Tersumbat, Pekerja Loji Minta Wanita Jangan “Flush” Kapas Tuala Wanita Di Tandas

Isu membuang kapas tuala wanita (pad) ke dalam tandas sering menjadi perdebatan apabila ada pihak yang mendakwa tindakan tersebut tidak menyebabkan tandas mereka tersumbat manakala sebahagian yang lain menyifatkan tindakan itu sebagai menyusahkan orang lain apabila muncul masalah di kemudian hari.

Biarpun ramai yang telah memberi peringatan agar tidak membuang kapas dan gel pad ke dalam lubang tandas, masih ada pihak yang mengganggap cara itu sebagai langkah yang betul.

Lantaran itu, beberapa individu dipercayai bekerja dalam bidang pengurusan sisa kumbahan tampil dengan bukti akibat perbuatan tersebut – saluran tersumbat. Hal ini dikongsikan oleh seorang social media influencer, Siti Hawa Mohd Nor di Twitter miliknya.

“Memang la tandas rumah tak tersumbat. Saluran paip pembetung tu yang akan tersumbat.”

Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi dan luahan daripada netizen termasuk mereka yang bertanggungjawab menguruskan bahagian rawatan kumbahan.

Selain itu, seorang individu yang mendakwa pernah bekerja di bahagian penyelenggaraan loji di lebuhraya mengesahkan masalah berkenaan. Menurutnya, pam yang tidak mempunyai pisau akan tersumbat kerana tidak mampu memotong sampah yang tersumbat.

Gel pun tak larut air

Apabila ditanya sama ada semua atau hanya bahan tertentu tidak larut air, Siti Awe menjawab kedua-dua bahan gel dan kapas tidak larut di dalam air walaupun telah dikeluarkan daripada plastik tuala wanita.

Bahkan, gel, seperti microbeads di dalam sesetengah skrub akan mencemarkan air dan alam sekitar.

Ekoran itu, orang ramai diingatkan agar memanfaatkan tong khusus tuala wanita yang telah disediakan di tempat-tempat awam.

Basuh, bungkus dan buang dalam tong sanitary

Jangan buang benda-benda ni dalam tandas

Kapas memang serap air, tapi tak larut air

Guna pad boleh cuci lebih baik dan jimat

Ini pula merupakan penjelasan Mufti berkenaan isu ini

Tiada sebarang athar atau hadis yang menunjukkan bahawa tuala wanita yang terkandung darah haid perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum membuangnya. Bahkan tidak ada riwayat dari para Sahabat dari kalangan wanita menyatakan bahawa mereka membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya.

Juga tidak terdapat arahan dari Nabi agar membasuhnya. Yang Nabi arahkan adalah jika darah tersebut terkena pakaian sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar. Kata beliau :

سَأَلَتُ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ دَمِ الْحَيْضَةِ يُصِيبُ الثَّوْبَ فَقَالَ : حُتِّيهِ ثُمَّ اقْرُصِيهِ بِالْمَاءِ ثُمَّ رُشِّيهِ فَصَلِّى فِيه

Maksudnya : “Aku bertanya kepada Nabi saw tentang darah haid yang terkena pada pakaian. Nabi saw bersabda : basuhlah ia dan gosoklah ia dengan air serta siramlah ia (setelah digosok). Kemudian solatlah dengan pakaian tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (138) & Abu Daud ( 362)

Adapun membasuh tuala wanita sebelum membuangnya, tidak pernah diarahkan oleh Nabi saw. Ini dapat dilihat dari zahir hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw :

أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُلْقَى فِيهَا الْحِيَضُ وَالنَّتْنُ وَلُحُومُ الْكِلَابِ قَالَ الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

Maksudnya : “Adakah boleh kami mengambil wuduk dari perigi yang mana dibuang di dalamnya kain-kain yang terkandung darah haid, nanah dan daging anjing. Sabda Nabi saw : Air itu suci dan tidak dinajiskan oleh sesuatu,”

Riwayat al-Tirmizi (66) & Ahmad (11257) di dalam Musnadnya

Zahir hadis menyatakan bahawa الحِيض iaitu kain tuala wanita dibuang tanpa dibasuh terlebih dahulu. Jika kain tersebut dibasuh, masakan ada yang bertanya tentang kesucian air perigi tersebut.

Kami menyatakan bahawa tiada sebarang hadis atau athar yang menyatakan perlu membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya. Adalah tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa ia perlu dibasuh terlebih dahulu kerana dibimbangi akan menjadi makanan jin.

Namun tidak dinafikan bahawa syaitan adalah antara kalangan yang memang menyukai perkara-perkara yg kotor & najis. Ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik yang menyebut doa Rasulullah saw ketika masuk ke dalam tandas. Rasulullah berdoa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ

Maksudnya :” Ya Allah aku berlindung dengan Engkau dari al-Khubuth dan al-Khabaith.”

Riwayat al-Bukhari (6322)

Kata al-Khattabi :

“al-Khubuth adalah kata jamak bagi al-Khabith yang membawa makna syaitan jantan. Manakala al-Khabaith adalah kata jamak bagi al-Khabithah yang membawa makna syaitan betina.”

Rujuk Ma’alim al-Sunan (1/10)

Cuma kami mengesyorkan beberapa perkara :

  • Tuala tersebut perlu dibuang di tempat yang khusus. Jika boleh asingkan dari tempat buangan yang biasa digunakan seperti mana yang dilakukan di hospital.
  • Jangan dibuang merata-merata seperti di mangkuk tandas dan lain lain tempat yang tidak sesuai. Ini kerana, ia boleh menimbulkan suasana tidak selesa.

Sumber: Siti Hawa Mohd Nor (Siti Awe)

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.