Siakap Keli
Gambar: Front Desk

Makan Dalam Kelambu, Penduduk Desak Kerajaan Selesai Masalah Lalat

IPOH, 4 Nov (Bernama) — Nak makan pun kena dalam kelambu. Itulah antara cabaran terpaksa dihadapi kira-kira 500 penduduk kampung di Segari, Lumut, yang sudah tidak tahan ‘hidup’ bersama lalat sejak 20 tahun lalu dan mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu.

Bukan sahaja mengganggu kegiatan harian, kehadiran serangga itu yang didakwa ekoran kewujudan ladang ternakan ayam berhampiran kawasan penempatan penduduk, juga menjejaskan punca rezeki mereka.

Seorang penduduk, Mazeli Md Desa, 44, dari Kampung Batu 10 berkata kediamannya terletak kira-kira 100 meter dari ladang ternakan ayam itu, dan dia sekeluarga sudah tidak mampu bertahan dengan masalah lalat yang mengganggu kehidupan seharian.

“Lalat mengganggu kami siang dan malam sehingga hendak makan pun kami terpaksa pakai kelambu untuk mengelak makanan dan minuman dihinggap lalat, pintu rumah memang tak boleh nak buka sebab mahu elak lalat masuk ke dalam rumah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat aduan tersebut di Jabatan Veterinar Perak di sini, hari ini.

Seorang wakil penduduk, Zubaidah Zakaria, 49, dari Kampung Semangat, Segari pula berkata penduduk kampung telah mengajukan aduan kepada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik di kawasan itu, namun tiada tindakan lanjut yang mampu menyelesaikan isu gangguan lalat, sehingga menjejaskan periuk nasi dan aktiviti seharian penduduk kampung tersebut.

“Kami mahu isu (gangguan lalat) ini diselesaikan tetapi apa yang kami lihat tindakan yang dibuat pihak berwajib sebelum ini seperti acuh tak acuh sahaja, tidak ada penyelesaian. Apabila aduan dibuat, pihak berkenaan hanya membuat semburan asap (fogging) tetapi masalah lalat tetap tak selesai juga.

“Penduduk kampung telah bersepakat mahu melantik peguam memfailkan saman terhadap pemilik ladang ternakan ayam dan pihak bertanggungjawab, sekiranya tiada apa-apa tindakan diambil oleh mana-mana pihak selepas ini,” katanya.

Zubaidah yang berniaga nasi lemak berkata pelanggan yang membeli makanan di gerainya sering mengadu sakit perut disebabkan jangkitan penyakit yang berpunca daripada lalat.

Sementara itu, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata masalah lalat yang berlaku itu boleh menjejaskan sektor pelancongan di kawasan pantai Pasir Panjang dan Pantai Teluk Senangin, di kawasan tersebut.

“Kami daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan sudah beberapa kali mengutarakan masalah lalat tersebut, antaranya kepada Pejabat Daerah dan Tanah Manjung serta Jabatan Alam Sekitar, namun sehingga kini masalah tersebut masih berlaku.

“Kami tidak mahu pihak berkuasa yang berkenaan hanya sekadar mengeluarkan kenyataan akan menyiasat apabila isu itu dibangkitkan tetapi tidak ada tindakan susulan dilakukan,” katanya.

Sumber: Bernama

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa