Tidak sempat untuk membeli rumah bersama kekasih, seorang pendaki wanita dipercayai mati terjatuh dari ketinggian 60 kaki di puncak air terjun di Peak District, England.
Mangsa, Hannah Lowe mendaki gunung itu bersama dengan keluarga dan teman lelakinya, Adam Stanaway dan mereka sebelum itu merancang untuk membeli rumah sempena hari lahir teman lelakinya itu.
Mengambil masa selama 3 jam, mereka semua tiba di Kinder Scout untuk berpiknik dan ketika itulah pasangan kekasih itu berjalan-jalan untuk mengambil masa bersendirian. Mereka duduk di puncak Kinder Downfall dan berbincang mengenai perancangan masa hadapan mereka berdua.
Selepas berbincang, mereka bangun dari tempat duduk untuk meninggalkan kawasan itu namun nasib tidak menyebelahi Hannah apabila dia tergelincir dan terjunam hingga ke kaki air terjun.
Adam berkata dia cuba untuk menyelamatkan Hanna dengan menarik begnya namun terlepas dan terjatuh.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa Hannah meninggal disebabkan oleh kecederaan yang parah pada bahagian otaknya dan siasatan juga mendapati tiada motif yang mencurigakan berlaku dalam kejadian ini.
“Kejadian ini sangat ngeri dan mengejutkan, kami telah merancang untuk kehidupan baharu bersama namun tidak lama selepas itu dia pergi meninggalkan saya.
“Kata-kata tidak dapat menggambarkan perasaan saya pada ketika ini tetapi saya bangga kerana telah berkongsi masa yang ada bersama. Saya akan membuat kamu bangga dan saya juga akan menjadi orang yang lebih baik,” coret Adam di dalam posting Instagram.
Sumber: Mirror UK