Siakap Keli

“Kami Ingin Lihat Generasi Akan Datang Berjaya”, Mufti Kongsi Tips Peperiksaan

Peperiksaan atau ujian merupakan “kayu ukur” bagi menyukat sejauh manakah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Seiring dengan kesibukan para pelajar, tak dilupakan beberapa tips terbaik yang boleh dijadikan rujukan agar dapat lebih bersedia.

Begitulah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Dititipkan bersama ucapan selamat berjaya kepada pelajar yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Dr Zulkifli juga turut berkongsikan beberapa tips menghadapi peperiksaan di ruangan Twitter.

Beliau telah mengemukakan sebanyak empat jenis nasihat yang sememangnya patut dipraktikkan oleh calon-calon peperiksaan SPM dan juga STPM.

Nasihat pertama yang diberikan adalah mengenai penggunaan telefon pintar yang sedikit sebanyak boleh melengahkan masa ulang kaji bagi kebanyakan calon. Memang tidak dinafikan, penggunaan telefon pintar boleh mempengaruhi prestasi seseorang. Oleh itu, adalah lebih baik untuk mengurangkan penggunaan seperti yang dituntut oleh Mufti.

Tips kedua yang dikongsikan pula adalah mengenai masa yang sesuai untuk mengulangkaji pelajaran. Menurut Mufti, persiapan awal seperti bangun awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran boleh membantu pelajar menghadapi peperiksaan. Perkara ini kerana suasana pada waktu itu dapat memberikan daya tumpuan yang tinggi bagi kebanyakan pelajar.

Mufti juga menasihati agar calon SPM dan STPM untuk mendapatkan rehat dan makan yang secukupnya. Perkara ini kerana kekurangan tenaga dan rehat boleh menyebabkan minda seseorang lebih tertekan dan sudah pastinya ia boleh menjejaskan kesihatan.

Walaupun sibuk untuk mengulangkaji pelajaran, amalan membaca al-Quran, solat malam dan berdoa kepada Allah SWT juga perlulah dilaksanakan. Malah, ini merupakan tips yang terpenting kerana segala kunci kejayaan adalah kehendak-Nya. Usaha yang gigih dan juga amalan tersebut perlulah dilakukan bersama agar dapat memperolehi kejayaan.

Akhir sekali, Dr Zulkifli berharap agar dapat melihat generasi yang akan datang berjaya di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kedua-duanya perlulah diimbangi dengan baik terutamanya oleh pelajar-pelajar.

Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Nur Farra