Siakap Keli

Pernah Cuba Nak Lari Rumah, Suami Dakwa Isteri Ada Masalah Mental Sampai Nampak Benda Mistik

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Banyak kes-kes penceraian berlaku disebabkan oleh ketidak sefahaman antara dua belah pihak. Mereka mengambil jalan mudah dengan membuat keputusan untuk bercerai tanpa memikirkan nasib anak-anak.

Menerusi perkongsian Facebook Anas Jamaluddin, beliau menceritakan pengalaman beliau mengendalikan masalah pasangan suami isteri yang berbeza dari kes yang pernah beliau tangani sebelum ini.

“Ustaz, semalam masa suami saya balik kerja kan, belakang dia saya nampak ada lembaga gelap. Hitamm. Tinggiii sangat”

Allahu, ingat lagi. Pernah sekali saya didatangi seorang wanita untuk mendapat nasihat guaman.

Dari jauh saya perhatikan penampilannya yang agak pelik. Make upnya tebal. Berpakaian warna warni. Awalnya saya tak syak apa-apa. Mungkin itu fesyen beliau barangkali.

Biasanya klien yang hadir akan diberi satu borang oleh pegawai kaunter. Maklumat asas seperti nama, pekerjaan dan kes hendaklah diisi oleh klien sendiri.

Wanita ini kerek dan menjawab dengan kasar sekali kepada pegawai kaunter apabila diminta berbuat demikian. Namun, dalam kekerekannya itu, borang itu diisi juga akhirnya.

Beliau dibawa ke bilik khidmat nasihat. Pegawai kaunter menyerahkan borang khidmat nasihat kepada saya. Saya perhatikan tulisan wanita ini seperti cakar ayam, susah nak baca tulisannya.

Beliau tanda semua jenis kes dalam borang itu dari kes perceraian, iddah, mutaah hingga ke nafkah anak dan pelbagai tuntutan lain. Kerja pula ditulis : cuti.

Pegawai kaunter dah beri “hint” kepada saya supaya berhati hati dengan klien ini. Apa tidaknya, di kaunter depan pun dah lain macam. Apatah lagi semasa sesi khidmat nasihat nanti.

Saya tak banyak ilmu. Tapi adalah serba sedikit pengalaman. Bismillah 21 kali dan tawakal kepada Allah. Hadap saja.

Saya bergerak ke bilik khidmat nasihat. Kelihatan bilik tersebut kosong.

Ah sudah, mana dia pergi ni!

Rupanya beliau sedang sibuk berselfie dengan pelbagai gaya di luar bilik. Aduh. Gelagatnya itu membuat saya curiga. Beliau pula tidak sedikit pun terkejut dengan kehadiran saya.

Saya menjemput beliau masuk. Dengan tersenyum simpul, beliau masuk dengan elok serta memberi salam kepada saya. Eh elok pula, tadi kemain garang kat kaunter.

Beliau duduk dihadapan saya denga kepalanya menunduk ke bawah. Tadi kemain ceria meria selfie kat luar. Saya makin pelik dengan gelagatnya. Seram pun ada.

Setelah beberapa ketika kepalanya di angkat. Matanya meliar memandang ke syiling seperti mencari sesuatu. Nampak jelas emosinya tak stabil. Pelik sekali kelakuannya.

Selepas memperkenalkan nama, saya mulakan sesi dan bertanya maksud kedatangannya.

“Ustaz, saya nak minta cerai dan semua semua tulah, hiii hihihi hiiiii” katanya sambil jari menunjukkan ke arah borang di tangan saya. Dia telah mendongak kepala dan ketawa mengilai.

Ah sudah, ketawa punyalah seram. Allahu, tegak bulu roma saya.

Saya cuba tenangkan diri dan teruskan siasatan. Saya cuba alihkan perhatian dengan bertanya status pekerjaan beliau. Kenapa ditulis “cuti”.

“Sekarang ni majikan bagi saya cuti sementara. Diorang cakap saya ni gila. Suami saya pun cakap saya macam tu. Ada ke patut dia paksa saya makan ubat itu ini, saya tak gila tau hiii hihihi hiiii” katanya sambil sambung ketawa mengilai.Allahhh.

Saya tak boleh terus potong ceritanya. Otak terus ligat memikirkan cara untuk melayan beliau supaya tidak bertindak di luar kawalan.

“Ohh yaka, saya tengok puan ni okay saja. Emm, kenapa puan diberi cuti?” saya terus memancing beliau supaya bercerita. Debar dada ini hanya Tuham yang tahu.

“Ohh haa, dulu kat opis lama saya tu. Ada sorang pegawai ni cakap banyak sangat. Saya tampar je dia. Sebab tu yang diorang bagi cuti tu” katanya selamba.

Beliau kemudiannya membuka cerita. Macam macam yang beliau ceritakan kepada saya. Semuanya persis kisah novel : Siri Bercakap dengan Jin karya Tamar Jalis yang saya gemar baca dahulu.

“Ustaz, semalam masa suami saya balik kerja kan, belakang dia saya nampak ada lembaga. Hitamm. Tinggiii. Saya tak bagi suami saya dan “dia tu” masuk ke dalam rumah. Saya rasa itu belaan mak mertua saya la. Mak mertua saya tu memang kaki membela” tambahnya. Aduh seramnya.

Katanya, beliau selalu mendengar bisikan supaya buat itu dan ini, nampak macam macam makhluk halus. Tambahnya lagi, disebabkan itu anak anaknya termasuk bayi yang baru lahir tahun lepas, semua dihantar suaminya ke kampung. Ohh, saya dah dapat agak apa masalah wanita ini.

Fikir punya fikir, akhirnya Allah bagi ilham. Saya beri cadangan untuk selesaikan masalahnya dengan cara berbincang dengan suami beliau. Kata saya, kalau bincang kes cepat selesai. Beliau setuju. Alhamdulillah, dapatlah saya “cut” sesi ini dengan tenang.

Setelah memberi nombor telefon suaminya, beliau pun pulang dengan janji saya itu dengan wajah yang gembira. Mungkin kerana saya melayan ceritanyanya atau gembira sebab lain. Wallahuaklam.

Telefon saya capai dan dapat bercakap dengan suami beliau. Mengikut cerita si suami, isterinya jadi kurang siuman selepas melahirkan anak keempat.

Tambah suaminya lagi, beliau telah berusaha untuk mengubati isterinya melalui pelbagai kaedah moden dan tradisional. Tapi sehingga kini isterinya itu belum pulih. Isterinya telah banyak kali lari dari rumah. Macam macam bisikan dan makhluk halus yang dia nampak.

Saya nasihatkan suaminya supaya merujuk kepada pakar psikatari di hospital. Isterinya memerlukan rawatan khas dari mereka yang mahir dalam bidang ini.

Setelah membuat carian di internet akhirnya saya mendapat jawapan. Sah. Wanita ini sedang mengalami Postpartum Psycosis atau orang kita sebut “meroyan”.

Rupanya, penyakit ini bukan sesuatu yang wujud di alam Melayu sahaja. Sebenarnya, memang telah ada pakar yang membuat kajian khas mengenai penyakit ini.

Hasil carian saya mendapati, terdapat tiga kategori penyakit mental selepas bersalin iaitu :

1. Tahap pertama : Gangguan emosi postpartum atau baby blues.

Gangguan biasa yang dialami oleh para wanita selepas bersalin. Mereka beremosi. Namun tak sedar mereka alami gangguan. Gangguan ini akan hilang sedikit demi sedikit secara tidak sedar selepas beberapa ketika.

2. Tahap kedua : Kemurungan Posrpartum

Kemurungan ini disebabkan pengalaman yang teruk semasa bersalin. Gejala ini juga biasanya terjadi kepada wanita yang tidak bersedia menerima kelahiran anak atau mempunyai masalah rumahtangga dalam tempoh selepas kelahiran. Namun tahap ini masih belum dikira kronik.

3. Postpartum Psycosis, juga disebut meroyan.

Tahap yang paling kronik. Antara gejala yang dikenalpasti bagi Postpartum Psycosis adalah mendengar suara atau mendapat bayangan dan berhalusinasi. Penyakit ini boleh berlarutan hingga tempoh 5 tahun jika tidak diubati. Ya, inilah tahap meroyan yang dihadapi wanita yang saya ceritakan di atas. Semua simtom kategori ini ada pada wanita tersebut.

Masalah meroyan yang dihadapi wanita ini mengingatkan saya kepada satu kes pembunuhan tragis seorang bayi di Kota Bharu yang tular pada Februari 2017.

Dalam kejadian yang menyayat hati itu, bayi yang diberi nama Nur Arissa Sofea Jirry telah dikelar oleh ibunya yang meroyan. Mengikut cerita, wanita yang berumur 32 tahun itu telah mendengar suara supaya menekap anaknya dengan bantal. Allahu. Sadis sekali.

Saya berpesan kepada diri sendiri dan pembaca dari kalangan suami sekalian, jagalah isteri sebaiknya selepas bersalin. Jika dia beremosi hendaklah kita sabar melayan karenahnya.

Ingatlah, wanita itu telah menggadaikan nyawanya untuk melahirkan anak kita. Sakitnya ya ampun. Cubalah teman isteri semasa lahirkan anak. Nescaya anda akan lebih menghargai ibu dan isteri anda.

Kepada para wanita yang membaca posting ini, kawal emosi anda sebaik mungkin selepas bersalin. Jika ada masalah, bawalah berbincang dengan suami. Jangan memendam rasa. Ikut rasa kelak binasa.

Pandang wajah anak. Ingatlah ini hadiah dari Allah. Suatu masa, anak ini akan mendoakan kita. Asbab masuk ke syurga. Seorang wanita yang melahirkan anaknya, Allah ampuni semua dosa dosanya seperti bayi yang baru lahir.

Kesimpulannya, hargailah pasangan anda. Kekurangan mereka ditampung kekuatan kita, begitu juga sebaliknya. Aturlah kehidupan mengikut kehendak Tuhan. InsyAllah bahagia dunia akhirat.

Semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada kita semua.

Sumber: Anas Jamaluddin

Zetty Amelia

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)