Siakap Keli
Gambar: Chiang Rai Times

Penduduk Kelantan Dinasihati Tidak Ke Selatan Thailand Buat Sementara Waktu

KOTA BHARU, 6 Nov — Kerajaan negeri Kelantan menasihati penduduknya supaya mengelak daripada berkunjung ke selatan Thailand buat masa sekarang susulan serangan bom di kawasan itu malam tadi.

“Kalau benda (pengeboman) itu berlaku kita minta supaya (rakyat) berhati-hati dan kalau boleh dalam sehari dua ini, elakkan melawat selatan Thailand. Ia lebih baik untuk keselamatan,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ditanya adakah penduduk Kelantan terlibat dalam kejadian itu, beliau berkata kerajaan negeri setakat ini belum menerima sebarang maklumat berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Wilayah Yala, Mej Jen Pol Prabpal Meemongkol dilaporkan berkata dalam kejadian kira-kira 10.15 malam (waktu tempatan) semalam 15 anggota sukarelawan maut, termasuk dua wanita dan empat lagi cedera selepas dua serangan di pos kawalan keselamatan di Mukim Lampaya dan Kampung Thung Sadao dipercayai akibat serangan anggota kumpulan bersenjata.

Ditanya mengenai persiapan banjir, Mohd Amar berkata ia telah dilakukan dengan sebaik mungkin sejak beberapa bulan yang lepas.

“Kita dah buat persiapan-persiapan yang perlu sepertimana kita buat (sebelum ini) seperti mesyuarat pelantikan pegawai, kemudian bekalan-bekalan (makanan) memang sudah ada dan benda ini berterusan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar juga menzahirkan terima kasih kepada kepada kerajaan Persekutuan di atas pengiktirafan terhadap dua telaga minyak yang berada dalam lingkungan tiga batu nautika dari pesisir pantai Kelantan.

“Pertama kita ucap terima kasih kepada kerajaan Persekutuan sebab ini kali pertama mereka mengiktiraf dan mengakui ada telaga minyak dalam perairan Kelantan. Selama ini tiada, Kelantan tak berhak, semua di luar tiga batu nautika.

“Jadi dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali satu pengakuan dan pengiktirafan kepada hak negeri Kelantan dan ini satu perkembangan yang baik. Kita harap untuk isu persempadanan Kelantan dan Terengganu ini diselesaikan dengan segera,” katanya.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata bayaran royalti melibatkan 10 lapangan pengeluaran minyak dan gas kepada Kelantan dan Pahang hanya akan dilakukan selepas isu persempadanan perairan diselesaikan mengikut perundangan sedia ada berikutan sebelum ini tidak pernah wujud persempadanan laut antara negeri-negeri di Malaysia.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.