Siakap Keli

Ramai Puji Keluarga Muslim Ini Bersihkan Pusara Nenek Di Tanah Perkuburan Kristian

Perbezaan agama sesama keluarga tidak pernah menghalang seseorang itu untuk terus berkasih sayang dengan keluarganya. Malah, menghormati ibu bapa itu sangat dituntut dalam Islam. Itulah yang dikongsi oleh Cik Emmet dalam nukilan terbarunya.

Satu keluarga muallaf menziarahi kubur keluarga mereka yang beragama Kristian di Hari All Soul Day. Hari seperti ini, kebiasannya penganut agama Kristian akan menziarahi kubur keluarga masing-masing dan membersihkan kawasan tersebut.

Apa yang indahnya, orang ramai tidak pelik malah tersenyum dan siap bertegur sapa keluarga muslim tersebut. Berikut adalah kisah penuh yang dipetik dari blog Cikgu Emmet.

Hari ini 2hb November..dalam perjalanan ke bandaraya Kuching melalui jalan penrissen agak luarbiasa sesaknya. Lebih-lebih lagi bila melalui kawasan perkuburan kristian, terdapat banyak kereta parkir di sisi jalan.

Rupanya pagi ini ialah hari All Soul Day iaitu hari dimana ramai sanak saudara menziarahi pusara orang tersayang yang telah pergi. Hari ini penganut kristian terutamanya akan membersihkan pusara ibu atau bapa serta saudara mara yang telah tiada disamping menukar bunga dijambangan.

Namun dalam puluhan orang yang berada di kawasan perkuburan kelihatan juga kelibat beberapa orang yang memakai baju kurung dan bertudung. Ternyata mereka ialah perempuan muslimah. Mereka turut membersihkan perkuburan.

Salah seorang daripadanya ialah guru SMK Padawan. Iaitu Cikgu Dayang Rafidah bt Awang Osman. Pagi ini beliau bersama ibu dan ibu saudaranya yang beragama Islam turut membersihkan kubur mendiang neneknya yang telah lama tiada. Meskipun kelihatan agak janggal kerana mereka adalah keluarga Muslim tetapi kehadiran mereka disambut sapaan dan senyuman dari pengunjung lain.

Menurut cikgu Dayang Rafidah..walaupun neneknya bukan beragama Islam dan ibunya pula seorang mualaf ia tetap tidak memutuskan rasa kasih dan sayang walaupun nenek (ibu kepada ibu Dayang Rafidah) telah meninggal dunia. Rasa sayang terhadap neneknya terus diterjemahkan dengan menyantuni pusara mereka.

Hakikatnya di Sarawak dan juga Sabah khasnya dan di seluruh Malaysia amnya masih terdapat nilai hormat menghormati yang boleh dicontohi. Bumi Allah ini untuk dikongsikan bersama..

Perbezaan kaum pun untuk saling kenal mengenali dan kepercayaan agama adalah untuk membimbing rohani agar berupaya menjadikan kita manusia yang baik dan berperkerti tinggi.

Sumber: Cikgu Emmet Menulis

Nurul Alia Ali

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)