Siakap Keli
Kredit: Bernama

Negara Islam Dibangunkan Melalui Sifat Ummah Bukan Penjenamaan Nama Negara – Sultan Nazrin

PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah negara Islam dibangunkan oleh ummahnya melalui sifat dan tingkah laku dan bukan menerusi penjenamaan nama negara.

Titah baginda, negara dan organisasi tidak dapat mendakwa diri masing-masing sebagai Islam jika warga dan ahlinya tidak mengamalkan sifat-sifat seorang Muslim yang sejati.

“Setiap organisasi Islam dan setiap seorang umat Islam memiliki tanggungjawab fardu kifayah untuk meletakkan negara ini berada pada landasan yang betul, agar menjadi sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Ilahi,” titah baginda dalam Titah Diraja sempena sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah umat Islam mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu negara, merangka formula, memperkenalkan program Islam yang berkesan dan menyemai kembali pegangan tauhid dan keimanan yang kukuh dalam kalangan ummah agar nilai-nilai murni, jujur, amanah dan ikhlas menjadi darah daging setiap umat Islam.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Majlis Sambutan Jubli Emas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Baginda bertitah umat Islam mempunyai cabaran berat untuk mentransformasikan minda dan jiwa agar ia merdeka dan meletakkan sepenuh pengabdian kepada Allah S.W.T. serta tidak akan bersekongkol, sebaliknya berani menentang kemungkaran.

Titah baginda setiap keluarga Islam wajib sedar bahawa Islam yang diwarisi melalui kelahiran itu perlu diperlengkap dengan pengisian.

Sultan Nazrin bertitah kegemilangan Islam pada satu masa dahulu meninggalkan legasi dan idealisme tinggi, namun kemajuan sesuatu bangsa tidak boleh bergantung pada legasi dan idealisme semata-mata.

Jelas baginda, survival umat Islam perlu dibina melalui pembinaan kekuatan minda dan menyuntik keyakinan untuk bersaing dan berlumba, bukan dengan kaedah menakut-nakutkan, sehingga ummah mempunyai prejudis dan merasakan diri sebagai makhluk asing apabila berada dalam situasi yang dikelilingi bukan Islam.

“Perbuatan menakut-nakutkan ummah samalah seperti budaya menakut-nakutkan anak-anak Melayu di kampung pada era pra dan pascamerdeka dengan cerita-cerita puntianak dan hantu kubur, hingga anak-anak tersebut dibunuh keberanian mereka, lalu menjadi pengecut dan penakut.

“Perbuatan menakut-nakutkan ummah secara keterlaluan, teramat merugikan, kerana ummah akan hilang keyakinan, dan ummah akan gentar untuk bersaing di dunia yang lebih besar, apabila berada di luar kepompong kumpulan sendiri,” titah baginda.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (enam, kiri) berkenan bergambar kenangan bersama anggota Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

Sultan Nazrin bertitah keagungan Islam perlu dicerminkan melalui sifat dan watak insaniah ummah, bukan pada apa yang diuar-uarkan, atau apa yang dimegahkan, dengan menceritakan kisah kehebatan tokoh-tokoh Islam zaman silam, yang sudah pun menjadi sejarah.

“Tidak siapa yang akan mempedulikan apa yang diuar-uarkan, jika yang diuar-uarkan sangat bercanggah dengan sifat dan watak yang menjadi bukti hidup yang sedang disaksikan oleh dunia pada hari ini,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, umat Islam yang cintakan agama dan memahami ajaran Islam yang sebenar juga tidak harus berpeluk tubuh, memilih menjadi penonton dan majoriti yang membisu dengan merelakan Islam dirampas oleh kumpulan yang memanipulasikan Islam untuk tujuan sempit.

“Agama terbukti memiliki satu tenaga kekuatan dan daya tarikan luar biasa untuk boleh menggerakkan orang ramai.

“Oleh itu, agama terdedah untuk dijadikan instrumen bagi mencapai cita-cita sempit individu atau kumpulan, jika orang ramai dapat diyakinkan dan jika orang ramai tanpa terlebih dahulu memeriksa fakta dan kesahihan, dan tanpa berfikir, menerima slogan atau retorik agama yang dilaungkan,” titah baginda.

Sumber: BERNAMA

Amira

Makin kita belajar, makin kita tahu sebenarnya banyak yang kita tak tahu.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.