Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Rugi RM35,000 Tuntut Hadiah Hari Jadi

Kuantan : Seorang kerani wanita mendakwa kerugian RM35,000 selepas mahu menuntut kiriman hadiah hari jadi daripada kenalan laman sosial, yang kononnya berada di luar negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 32 tahun mendakwa berkenalan dengan suspek menerusi aplikasi WeChat pada 29 Sept lalu.

Selepas seminggu berkenalan, suspek menyatakan hasrat mahu menghantar hadiah bagi meraikan ulang tahun kelahiran mangsa pada 15 Nov, menyebabkan mangsa tanpa ragu-ragu memberikan alamat tempat kerjanya.

“Bagaimanapun, pada 13 Okt lalu, mangsa menerima pesanan daripada sebuah akaun WeChat yang tidak dikenali menyatakan kiriman itu telah sampai ke Malaysia, namun ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam). 

“Mangsa diminta membuat bayaran kepada syarikat penghantaran yang didakwa sebagai caj perkhidmatan dan bayaran kepada petugas Kastam untuk segera melepaskan barangan itu,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa telah membuat tujuh transaksi pembayaran secara berperingkat sejak 14 hingga 18 Okt lalu ke dalam pelbagai akaun bank yang diberikan syarikat penghantaran itu.

Mangsa mendakwa dia diarahkan untuk menunggu hadiah tersebut selepas membuat transaksi pembayaran terakhir, namun sehingga kini barangan itu tidak pernah diterima.

“Mangsa mendakwa telah cuba menghantar mesej ke akaun WeChat kenalannya dan syarikat penghantaran, namun mendapati kedua-dua akuan itu sudah tidak wujud” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.