Siakap Keli

Pelajar Tahfiz Maut Dengan Kesan Lebam Dipercayai Dipukul Rakan

KUANTAN, 8 Nov – Seorang pelajar tahfiz berusia tujuh tahun maut dengan kesan lebam pada tubuh badannya dipercayai akibat dipukul rakan di Temerloh, semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan, warden pusat tahfiz berkenaan telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Lanchang sebelum mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1 petang semalam ketika menerima rawatan di sana.

“Maklumat awal menyatakan mangsa ditemui dalam keadaan lemah oleh warden wanita pusat tahfiz itu, yang kemudiannya membawa mangsa ke klinik kesihatan tersebut.

“Mangsa difahamkan baru belajar di situ sejak pertengahan Oktober lepas, bersama-sama dengan abang tirinya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Berikutan itu, polis telah menahan tiga pelajar institusi sama berusia 13 tahun bagi membantu siasatan.

Kata Othman, siasatan awal mendapati institusi berkenaan yang tidak berdaftar itu mula mengambil pelajar sejak awal tahun ini dan mempunyai empat orang pelajar termasuk mangsa setakat ini.

Pusat tahfiz itu diuruskan sepasang suami isteri di mana gurunya merupakan suami kepada warden wanita berkenaan.

Bedah siasat ke atas mangsa akan berjalan pada hari ini di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh manakala siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)