Siakap Keli

Pemandu Bas Rempuh Pelajar Tingkatan 4, Dikenalpasti Positif Syabu, Tiada Lesen Memandu Sah

George Town, 8 Nov – Pemandu bas persiaran yang melanggar empat buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Setia Triangle Bayan Lepas sehingga mengakibatkan kematian seorang pelajar tingkatan empat semalam disahkan positif dadah jenis syabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan AA Anbalagan berkata, suspek yang berusia 49 tahun dikenalpasti positif dadah jenis syabu melalui ujian saringan awal air kencing serta didapati tidak mempunyai lesen memandu secara sah.

Ekoran itu, suspek direman dua hari untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, bas tersebut telah melanggar sebuah motosikal di parkir bahu jalan dan bergerak terus sehingga ke lampu isyarat Jalan Datuk Ismail Hashim sebelum merempuh motosikal ditunggang Muhammad Saifullah Muhammad Hafeiz, 16 yang berhenti di lampu isyarat berkenaan.

Kredit: Mszikr

“Bas itu dari Persiaran Kelicap menghala Bayan Lepas dan semasa melalui di Persiaran Kelicap, bas tersebut bergesel dengan sebuah kereta Proton Waja yang diparkir di tepi jalan di situ sebelum melanggar kereta Suzuki Swift dipandu seorang wanita bersama dua anaknya, yang sedang membelok ke kanan.

“Selepas itu bas tersebut melanggar sebuah motosikal di parkir di bahu jalan dan bergerak terus sehingga ke lampu isyarat Jalan Datuk Ismail Hashim sebelum merempuh motosikal ditunggang remaja lelaki tersebut yang sedang berhenti di lampu isyarat persimpangan jalan berkenaan,” katanya di sini malam ini.

Menurut laporan Bernama semalam, pemandu berkenaan mendakwa dia gagal mengawal bas kerana kenderaan tersebut mengalami masalah brek.

“Menurut pemandu bas berusia 49 tahun itu, dia gagal mengawal bas kerana kenderaan tersebut mengalami masalah brek. Lelaki tersebut mengalami kecederaan ringan,” kata Anbalagan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa cedera parah sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Video detik kemalangan semalam tular di laman sosial di mana sebahagian netizen mendakwa pemandu berkenaan sedang mabuk ketika kejadian.

Sumber: Bernama, Sinar Harian

Amira

Love yourself.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)