Siakap Keli
Gambar : Facebook

Dua Wanita Maut Kereta Dihempap Lori Pasir

Kuala Lumpur : Seorang warga emas antara dua wanita maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan lori membawa muatan pasir dan sebuah kereta di susur keluar Persiaran Kewajipan, Subang Jaya menghala ke Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), dekat sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata mangsa yang maut ialah dua penumpang kereta jenis Perodua Myvi, Goh Liew Suan, 70, dan Jan Boudeville Leong Mei Li, 48.

Kedua-dua mangsa dipercayai anak-beranak.

Beliau berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta berkenaan, Tan Hue Ming, 36, mengalami cedera parah, sementara pemandu lori berusia 56 tahun itu hanya cedera ringan.

“Kejadian berlaku apabila lori seberat 24 tan yang membawa muatan pasir terbabas dan terbalik serta menghempap kereta itu. 

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Hospital Malaya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 10 pagi dan menghantar anggota penyelamat ke tempat kejadian dan berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan masing-masing.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.